Mesyuarat Penyelarasan Program Tafaqquh Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Daerah Johor Bahru

Selasa | 7 Julai 2026 | 21 Muharram 1448H

Mesyuarat Penyelarasan Program Tafaqquh Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Daerah Johor Bahru

Alhamdulillah, telah berlangsung Mesyuarat bagi Program Tafaqquh Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Pejabat Kadi Daerah Johor Bahru. 

Mesyuarat ini telah dipengerusikan dan dihadiri oleh As-Syeikh Tuan Haji Zaini bin Mohd Salleh, Kadi Daerah Johor Bahru, serta Al-Fadhil Ustaz Haji Mohd Nazri bin Ali Al-Hafiz, Imam Daerah Johor Bahru, bersama para felo daripada Sekretariat Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pembentangan kerta kerja oleh Ketua Felo Sekretariat Ahli Sunnah Wal Jamaah, Ustaz Esbi Islami bin Rifaie, berhubung cadangan pelaksanaan serta hala tuju Program Tafaqquh Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di peringkat daerah.

Semoga segala perancangan yang disusun dipermudahkan oleh Allah SWT serta menjadi wasilah dalam memperkukuhkan kefahaman dan penghayatan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kalangan masyarakat demi melahirkan ummah yang berpegang teguh kepada al-Quran, al-Sunnah dan manhaj para salaf yang muktabar.

اللهم بارك لنا في أعمالنا، ووفقنا لما تحب وترضى.

 

 

Cadangan Penambahbaikan Sistem Al-irsyad Jabatan Mufti Johor Bersama ICT@johor

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN SISTEM AL-IRSYAD JABATAN MUFTI JOHOR BERSAMA ICT@JOHOR 

2 Julai 2026 (Khamis) | Cadangan Penambahbaikan Sistem Al-Irsyad telah diadakan di Bilik Mesyuarat Jabatan Mufti Johor. Mesyuarat dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Yang Berhormat Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed, Timbalan Mufti Johor.

Turut hadir Ts. Encik Azman bin Azmi, Setiausaha Bahagian ICT@Johor, Puan Siti Dora binti Khalid, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat ICT@JOHOR dan pegawai-pegawai Jabatan Mufti Johor yang terlibat dalam perbincangan ini.

Pelbagai cadangan penambahbaikan telah dibincangkan bagi memperkasakan Sistem Al-Irsyad agar lebih cekap, sistematik dan mesra pengguna. Perbincangan memberi tumpuan kepada penambahbaikan modul sedia ada, pengoptimuman proses kerja, peningkatan pengalaman pengguna (user experience), aspek keselamatan sistem serta cadangan pembangunan fungsi baharu bagi menyokong penyampaian perkhidmatan digital Jabatan Mufti Johor kepada masyarakat.

Jabatan Mufti Johor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak ICT@Johor atas komitmen, pandangan dan kerjasama yang diberikan. Semoga usaha penambahbaikan ini dapat memperkukuhkan agenda pendigitalan perkhidmatan kerajaan serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan Jabatan Mufti Johor kepada seluruh masyarakat.

#JabatanMuftiJohor #ICTJohor #AlIrsyad  

#RujukanFatwa

 

Bengkel Semakan Pakar

SENAI, 5 MEI 2026 – Bengkel Semakan Pakar bagi penerbitan Buku Biografi Mufti-Mufti Johor telah berjaya dilaksanakan pada 4 hingga 5 Mei 2026 di Hotel Impiana Senai sebagai satu usaha sama antara Jabatan Mufti Johor bersama pasukan penyelidik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).

Projek penerbitan buku ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Halimi binti Mohd Khalid selaku Ketua Penyelidik, yang menerajui usaha penyelidikan dan penerbitan dengan kerjasama sejarawan dan pasukan penyelidik dari UTHM dan KUIJSI dalam memperkukuh dokumentasi sejarah institusi mufti di Negeri Johor.

Sepanjang bengkel berlangsung, sesi pembentangan dan perbincangan telah menerima pandangan serta input bernilai daripada YB Dato’ Prof. Dr. Kassim bin Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah DiRaja Johor, yang memberikan penegasan terhadap aspek ketepatan fakta sejarah dan nilai autoriti kandungan.

Fokus utama bengkel ini adalah bagi meneliti dan memperkemaskan kandungan meliputi kronologi pelantikan mufti, sumbangan tokoh serta pengesahan sumber rujukan agar penulisan buku ini lebih sahih, tersusun dan berwibawa.

Bengkel ini telah mencapai objektifnya dalam memperhalusi draf Buku Biografi Mufti-Mufti Johor melalui semakan pakar yang teliti dan menyeluruh. Diharapkan hasil usaha ini akan menghasilkan sebuah karya rujukan yang berkualiti tinggi serta menjadi sumber penting dalam mendokumentasikan sejarah dan peranan institusi mufti di Negeri Johor.

#biografimuftimufti
#bahagianrujukanfatwa

 

 

Perbincangan Pelaksanaan Majlis Pengkisahan Sejarah Institusi Mufti Negeri Johor

PERBINCANGAN PELAKSANAAN MAJLIS PENGKISAHAN SEJARAH INSTITUSI MUFTI NEGERI JOHOR
Isnin, 13 April 2026 | Dalam usaha memelihara dan mengangkat warisan sejarah institusi, Jabatan Mufti Johor menerima kunjungan hormat daripada Dr. Ariffin bin Santol, Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Johor.
Kunjungan tersebut disambut oleh Pengerusi Sohibus Samahah Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad, Mufti Negeri Johor bersama Ketua Penolong Mufti Bahagian Rujukan Fatwa, Ustaz Fakhrurrazi bin Yusof serta pegawai Jabatan Mufti Johor. Turut hadir Encik Mohamad Roslaily bin Rosdi, Penolong Pengarah 1 dan Encik Mohamad Faiz bin Mahmod, Pembantu Arkib Kanan.
Perbincangan tertumpu kepada pelaksanaan Majlis Pengkisahan Sejarah Institusi Mufti Negeri Johor serta pengukuhan kerjasama dalam aspek pemeliharaan dan pendokumentasian sejarah institusi.
“Memelihara Sejarah, Mengangkat Warisan.”

Perbincangan Pelaksanaan Majlis Pengkisahan Sejarah Institusi Mufti Negeri Johor

PERBINCANGAN PELAKSANAAN MAJLIS PENGKISAHAN SEJARAH INSTITUSI MUFTI NEGERI JOHOR

Isnin, 13 April 2026 | Dalam usaha memelihara dan mengangkat warisan sejarah institusi, Jabatan Mufti Johor menerima kunjungan hormat daripada Dr. Ariffin bin Santol, Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Johor.

Kunjungan tersebut disambut oleh Pengerusi Sohibus Samahah Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad, Mufti Negeri Johor bersama Ketua Penolong Mufti Bahagian Rujukan Fatwa, Ustaz Fakhrurrazi bin Yusof serta pegawai Jabatan Mufti Johor. Turut hadir Encik Mohamad Roslaily bin Rosdi, Penolong Pengarah 1 dan Encik Mohamad Faiz bin Mahmod, Pembantu Arkib Kanan.

Perbincangan tertumpu kepada pelaksanaan Majlis Pengkisahan Sejarah Institusi Mufti Negeri Johor serta pengukuhan kerjasama dalam aspek pemeliharaan dan pendokumentasian sejarah institusi.

“Memelihara Sejarah, Mengangkat Warisan.”

#bahagianrujukanfatwa

#muftinegeriJohor

PROGRAM BICARA SANTAI KLINIK FATWA RAMADAN

PROGRAM BICARA SANTAI KLINIK FATWA RAMADAN

4 Mac 2026 – Program Bicara Santai Klinik Fatwa Ramadan telah berlangsung dengan jayanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Perkongsian ilmu disampaikan oleh Ustaz Fakhrurrazi bin Yusof, Ketua Penolong Mufti Bahagian Rujukan Fatwa dan Ustaz Mohd Naim bin Mohamed Sahair, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Rujukan Fatwa.

Sesi perkongsian memberi penekanan kepada hukum-hakam puasa serta isu-isu berkaitan tugasan harian, termasuk persoalan puasa dalam konteks pekerjaan beruniform, kerja syif dan situasi kecemasan. Sesi soal jawab yang interaktif membantu peserta memahami keringanan (rukhsah) yang diberikan syarak tanpa mengabaikan tanggungjawab menggantikan puasa jika diperlukan.

Program ini diharap menjadi pemangkin kepada peningkatan kefahaman agama dalam kalangan warga IPD, seterusnya menyemarakkan penghayatan Ramadan dengan lebih yakin dan berilmu.

#klinikfatwa

#jabatanmuftijohor

Program Tafaqquh Akidah Peringkat Daerah Segamat

Alhamdulillah, telah selesai berlangsungnya program “Tafaqquh Akidah Peringkat Daerah Segamat” semalam bertarikh 15 Julai 2025 bersamaan 19 Muharram muharram 1447 Hijriah bertempat di Masjid Jamek Segamat.

Program ini adalah satu bentuk kerjasama antara Jabatan Mufti Johor dengan Pejabat Kadi Daerah Segamat.

Program telah bermula dengan slot “Pengenalan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah” yang telah dibentangkan oleh Felo Sekretariat Ahli Sunnah Wal Jamaah, Al-Fadhil Ustaz Fathi Amsyar bin Aidiladha.

Majlis diteruskan selepas itu dengan pembentangan “Ajaran Yang Telah Diwartakan Sesat Atau Menyeleweng oleh Jabatan Mufti Johor”. Pembentangan disempurnakan oleh Sahibul Fadhilah, Tuan Haji Baharin bin Jalal yang merupakan Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Johor Johor.

Majlis dihadiri oleh imam-imam masjid dan juga ketua-ketua kampung dan bertujuan untuk memantapkan lagi akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kalangan masyarakat di Segamat di samping menyekat sebarang ajaran yang bertentangan dan menyeleweng daripada akidah yang sebenar.

Antara intipati program adalah berkenaan pengenalan mazhab Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Al-Asha’irah dan juga Al-Maturidiah serta pengenalan berkenaan Al-Imam Abu Hasan Al-Ash’ari dan juga Al-Imam Abu Mansur Al-Maturidi.

Di samping itu, turut diterangkan secara ringkas berkenaan ajaran-ajaran yang sesat dan menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti ajaran Syiah Wahabiah dan ajaran Millah Abraham serta ajaran-ajaran menyeleweng yang lain yang telah diwartakan sama ada sesat ataupun menyeleweng oleh Jabatan Mufti Johor.

Majlis yang telah bermula daripada pukul 8:00 pagi itu telah dirasmikan oleh Kadi Daerah Segamat As-Syeikh Tuan Haji Azhar bin Samadon dan tamat sepenuhnya pada pukul 12:30 tengah hari.

Semua hadirin yang datang telah memberikan maklum balas yang positif berkenaan input yang diterima pada program tersebut. Semoga program ini dapat dilaksanakan lagi di daerah-daerah yang lain di bawah seliaan negeri Johor sekaligus memantapkan serta memelihara akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras kepada pegangan rakyat johor negeri kita yang tercinta ini.

 

 

Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-127

Syukur ke hadrat Allah SWT, Negeri Johor Darul Ta’zim berbesar hati menjadi tuan rumah bagi penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-127 pada tahun ini.

Mesyuarat pertama telah berlangsung pada 17 Jun 2025 di Hotel DoubleTree by Hilton, Johor Bahru dengan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Yang Berhormat Dato’ (Dr) Nooh bin Gadot, dengan penyertaan Sahibus Samahah Mufti-mufti seluruh Malaysia, serta ahli-ahli MKI yang dilantik. Mesyuarat seterusnya disambung pada hari ini 18 Jun 2025 di Bilik Mesyuarat Blok C, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar bagi menyempurnakan agenda-agenda muzakarah sebagaimana yang telah ditetapkan.

Pertemuan seumpama ini menjadi platform penting untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan hal ehwal agama Islam serta memperkukuh kerjasama antara negeri-negeri dalam memperkasakan pentadbiran Islam di Malaysia.

Sementara mesyuarat berlangsung, para isteri delegasi telah dibawa mengikuti program lawatan khas ke beberapa lokasi menarik di Negeri Johor, termasuk Yayasan Warisan Johor dan Zara Foodstuff Industries Sdn. Bhd, sebelum menyertai keseluruhan peserta MKI ke jamuan makan tengah hari di Forest City Golf Resort, Gelang Patah.

Agenda MKI diteruskan dengan lawatan ke Muzium Diraja Abu Bakar,Johor Bahru. Muzium ini dahulunya dikenali sebagai Istana Besar Johor dan dibina pada tahun 1866 semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar. Bangunan bersejarah ini menampilkan seni bina Anglo-Melayu dan kini menempatkan pelbagai koleksi diraja termasuk artifak, pakaian, perhiasan, dan khazanah warisan Kesultanan Johor.

Berbaki 2 hari sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-127 melabuhkan tirai, Negeri Johor Darul Ta’zim berbesar hati terus menyantuni kesemua delegasi agar pulang ke negeri masing-masing nanti dengan membawa 1001 sejarah manis untuk dikenang.

 

 

Seminar Pendidikan Fatwa Serantau 2025M/1446H

Johor Bahru, 16 Jun 2025M / 19 Zulhijjah 1446H – Seminar Pendidikan Fatwa Serantau 2025 anjuran bersama Jabatan Mufti Johor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya di Dewan Kenanga, Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Kehadiran para ilmuwan, tokoh akademik dan pengamal bidang fatwa dari dalam dan luar negara serta para peserta yang melebihi seribu orang menyerikan majlis dianjurkan.

Seminar ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.

Program dimulakan seawal jam 8.30 pagi dengan sesi pembentangan bertajuk ‘Pegangan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Alam Nusantara: Pengalaman Negara Brunei Darussalam’ yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Dato’ Seri Setia Dr. Haji Japar bin Mat Dain@Maidin (Timbalan Mufti Kerajaan, Jabatan Mufti Kerajaan Brunei Darussalam). Kemudian disusuli pembentangan kedua yang bertajuk ‘Memahami Pendekatan Fatwa Di Singgapura’ oleh Al-Fadhil Ustaz Dr. Hj Firdaus bin Yahya (Ahli Jawatankuasa Fatwa Singgapura).

Seminar ini turut menampilkan sebuah forum ilmiah bertajuk ‘Umat Bersyariat, Akidah Dimartabat : Negeri Berkat dan Berdaulat’ yang membariskan dua orang ahli panel iaitu Yang Berbahagia Tuan Haji Amran bin Awaludin (Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan JAKIM) dan Yang Berbahagia Profesor Dr. Arief Salleh bin Rosman (Dekan Fakulti Sains Sosial Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merangkap Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dan Ahli Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Forum ini telah dikendalikan oleh Al-Fadhil Ustaz Esby Islami bin Rifaie (Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Johor).

Seminar ini turut diserikan dengan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi kolaborasi penyelidikan dan penulisan biografi mufti-mufti Negeri Johor antara tiga pihak utama iaitu Jabatan Mufti Johor, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).

Penganjuran seminar ini menjadi medan penting dalam memperkukuhkan kefahaman berkenaan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di peringkat serantau, di samping mengukuhkan kerjasama strategik antara institusi keilmuan, penyelidikan dan pentadbiran fatwa.

 

 

Mesyuarat Pembentangan Deraf LOI/MOU/MOA Bagi Cadangan Kajian Dan Penerbitan Buku Biografi Mufti- Mufti Negeri Johor

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Sahibus Samahah Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, telah diadakan pada 15 April 2025 bagi membentangkan deraf Letter of Intent (LOI), Memorandum of Understanding (MOU), dan Memorandum of Agreement (MOA) berkenaan cadangan kajian serta penerbitan buku biografi Mufti-Mufti Negeri Johor. Cadangan ini bertujuan mendokumentasikan sejarah dan sumbangan para Mufti Johor melalui penyelidikan ilmiah yang merangkumi temu bual, kajian arkib serta bahan rujukan lain.

Pembentangan turut menyentuh skop kerjasama antara Jabatan Mufti Negeri Johor dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), peranan masing-masing, serta struktur jawatankuasa pelaksana yang diketuai oleh Dr. Halimi binti Mohd Khalid, Pensyarah Kanan dari Fakulti Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, UTHM. Anggaran kos serta cadangan sumber pembiayaan juga telah dibincangkan.

SS Dato’ Haji Yahya menzahirkan sokongan penuh terhadap inisiatif ini dan berharap kerjasama ini dapat memperkaya khazanah keilmuan negeri Johor. Mesyuarat bersetuju untuk memperhalusi deraf yang dibentangkan sebelum dimuktamadkan dalam perbincangan seterusnya.