Lawatan Kerja Ke Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan

LABUAN, 28 April 2025 – Delegasi Jabatan Mufti Johor yang diketuai oleh Sohibus Samahah Yang Berhormat Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad (Mufti Negeri Johor), telah melakukan lawatan kerja ke Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Caw. Labuan. Rombongan telah disambut oleh Yang Berbahagia Sohibus Samahah Dr. Nik Azlan bin Nik Man (Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Labuan).

Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama stragetik antara institusi mufti dan membincangkan cabaran-cabaran dalam menangani fikrah ajaran sesat serantau serta memperkukuhkan kefahaman aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kalangan masyarakat.

Pada sebelah petang, delegasi telah dibawa melawat ke Tapak Cerapan Hilal Rasmi Wilayah Persekutuan Labuan bertempat di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan bagi menyertai aktiviti cerapan hilal Zulkaedah. Aktiviti ini menjadi satu peluang berharga untuk berkongsi pengalaman serta memperkaya pengetahuan dalam bidang falak syarie.

Lawatan kerja ini adalah sebahagian daripada rangka program delegasi Jabatan Mufti Johor yang berlangsung bermula 27 April hingga 1 Mei 2025, termasuk kunjungan hormat ke Jabatan Mufti Negara Brunei Darussalam.

 

 

Mesyuarat Khas Pembinaan Membaikpulih Bangunan Akademi Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) Negeri Johor Di Taman Perling, Johor Bahru

Khamis, 24 April 2025 | Satu Mesyuarat Khas berkaitan penyelarasan proses membaikpulih Bangunan Akademi Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) Negeri Johor telah diadakan dengan dipengerusikan oleh SS YB Dato’ Hj. Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, dengan penyertaan dari pegawai-pegawai JKR Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Pengerusi mengalu-alukan kehadiran semua ahli mesyuarat dan menekankan kepentingan projek pembangunan ini dalam memperkukuhkan institusi keilmuan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri Johor.

Salah satu perkara utama yang dibincangkan ialah penerangan gerak kerja menaiktaraf Bangunan Pusat Perlindungan Wanita (PPW) yang akan dijadikan Bangunan Akademi ASWAJA, oleh Pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR) meliputi perincian kos Anggaran Kos Awalan (AKA) serta skop kerja terlibat.

Skop kerja merangkumi pembaikan struktur bangunan sedia ada, penambahan ruang aktiviti dan pembelajaran, bilik mesyuarat, serta penyediaan kemudahan asas seperti bilik kaunseling, ruang solat yang lebih mesra pengguna. Kerja-kerja penyelenggaraan dan pemasangan sistem keselamatan turut disenaraikan.

Mesyuarat ditangguhkan dengan persetujuan untuk mengemukakan perancangan berkenaan ke peringkat seterusnya bagi tindakan lanjut. Diharapkan projek ini akan memberi manfaat besar kepada umat Islam, serta memperkukuh pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di seluruh di Negeri Johor Darul Ta’zim.

 

 

Kunjung Hormat Markas Grup Artileri Pertahanan Udara, Kem Bera Pahang Ke Jabatan Mufti Johor

23 April 2025 (Selasa) | Jabatan Mufti Negeri Johor telah menerima kunjung hormat daripada delegasi Markas Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU), Kem Bera Pahang yang diketuai oleh Lt M Muhammad Naqib bin Harmi (Pegawai Agama), bersama PW II Mohd Ali bin Sabtu (Penasihat Hal Ehwal Islam) dan Kpl Mohammad Hussainin bin Abdull Latif (Penyelia Hal Ehwal Islam).

Kunjung hormat ini telah disambut baik oleh Sahibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor. Pertemuan membincangkan isu-isu semasa berkaitan hukum-hakam dalam latihan ketenteraan.

Diharapkan kunjung hormat ini menjadi pemula kepada jalinan kerjasama yang lebih erat dan berterusan antara kedua-dua pihak demi kepentingan ummah dan negara.

 

 

Majlis Hari Raya Aidilfitri 2025, Bersempena Dengan Sambutan 100 Tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor

Pada hari ini 18 April 2025 di hari Jumaat yang mulia, Pusat Islam Iskandar Johor telah menganjurkan Majlis Hari Raya Aidilfitri 2025, bersempena dengan Sambutan 100 Tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor. Majlis diadakan di perkarangan Pusat Islam Iskandar Johor yang diserikan dengan kehadiran YB Tn. Hj. Mohd Fared bin Hj. Mohd Khaled selaku Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Negeri Johor.

Antara pengisian program termasuklah bacaan selawat dan marhaban, pelancaran gimik QR Zakat Harta, anugerah pewakaf, anugerah amil agihan, serta penyampaian sumbangan kepada persatuan anak yatim dan asnaf.

Jamuan menu hari raya yang serba lazat disediakan di gerai-gerai dari keseluruhan jabatan di Pusat Islam Iskandar Johor.

Jabatan Mufti Johor telah diamanahkan menyediakan pelbagai kuih muih, air panas beserta air mineral.

Kehadiran tetamu dari pelbagai pelusuk negeri turut sama menyemarakkan bulan Syawal yang mulia, dan mengukuhkan silaturrahim di antara satu sama lain.

 

 

Lawatan Ke Surau Taman Bunga Teratai, Pekan Nenas, Pontian, Johor

Alhamdulillah, hari ini, 16 April 2025, Jabatan Mufti Johor telah melaksanakan satu sesi lawatan bagi permohonan kebenaran solat jumaat di Surau Taman Bunga Teratai, Pekan Nenas, Pontian, Johor.

Lawatan ini diketuai oleh Sahibus Samahah Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor.

Lawatan ini disambut oleh Tuan Kadi Daerah Pontian bersama Jawatankuasa Surau. Tujuan lawatan ini adalah bagi memastikan semua perkara yang berkaitan dengan permohonan kebenaran solat jumaat di surau tersebut telah dipatuhi.

 

 

Lawatan Ke Surau Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Johor, Mukim Rimba Terjun, Pontian, Johor

Alhamdulillah, hari ini, 16 April 2025, Jabatan Mufti Johor telah melaksanakan satu sesi lawatan bagi permohonan kebenaran solat jumaat di Surau Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Johor, Mukim Rimba Terjun, Pontian, Johor.

Lawatan ini diketuai oleh Sahibus Samahah Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor.

Lawatan ini disambut oleh Tuan Kadi Daerah Pontian bersama Jawatankuasa Surau Kolej Matrikulasi ini. Tujuan lawatan ini adalah bagi memastikan semua perkara yang berkaitan dengan permohonan kebenaran solat jumaat di surau tersebut telah dipatuhi.

 

 

Mesyuarat Pembentangan Deraf LOI/MOU/MOA Bagi Cadangan Kajian Dan Penerbitan Buku Biografi Mufti- Mufti Negeri Johor

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Sahibus Samahah Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, telah diadakan pada 15 April 2025 bagi membentangkan deraf Letter of Intent (LOI), Memorandum of Understanding (MOU), dan Memorandum of Agreement (MOA) berkenaan cadangan kajian serta penerbitan buku biografi Mufti-Mufti Negeri Johor. Cadangan ini bertujuan mendokumentasikan sejarah dan sumbangan para Mufti Johor melalui penyelidikan ilmiah yang merangkumi temu bual, kajian arkib serta bahan rujukan lain.

Pembentangan turut menyentuh skop kerjasama antara Jabatan Mufti Negeri Johor dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), peranan masing-masing, serta struktur jawatankuasa pelaksana yang diketuai oleh Dr. Halimi binti Mohd Khalid, Pensyarah Kanan dari Fakulti Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, UTHM. Anggaran kos serta cadangan sumber pembiayaan juga telah dibincangkan.

SS Dato’ Haji Yahya menzahirkan sokongan penuh terhadap inisiatif ini dan berharap kerjasama ini dapat memperkaya khazanah keilmuan negeri Johor. Mesyuarat bersetuju untuk memperhalusi deraf yang dibentangkan sebelum dimuktamadkan dalam perbincangan seterusnya.

 

Lawatan Ke Surau Kampung Parit Raja Baroh, Gerisik, Tangkak

Alhamdulillah, 9 April 2025, Jabatan Mufti Johor telah melaksanakan satu sesi lawatan bagi permohonan kebenaran solat jumaat di Surau Kampung Parit Raja Baroh, Gerisik, Tangkak, Johor.

Lawatan ini diketuai oleh Sahibul Fadilah Tuan Haji Baharin Bin Jalal, Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Johor.

Lawatan ini disambut oleh Tuan Kadi Daerah Tangkak bersama Jawatankuasa Surau. Tujuan lawatan ini adalah bagi memastikan semua perkara yang berkaitan dengan permohonan kebenaran solat jumaat di surau tersebut telah dipatuhi.