Bengkel Semakan Pakar
SENAI, 5 MEI 2026 – Bengkel Semakan Pakar bagi penerbitan Buku Biografi Mufti-Mufti Johor telah berjaya dilaksanakan pada 4 hingga 5 Mei 2026 di Hotel Impiana Senai sebagai satu usaha sama antara Jabatan Mufti Johor bersama pasukan penyelidik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).
Projek penerbitan buku ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Halimi binti Mohd Khalid selaku Ketua Penyelidik, yang menerajui usaha penyelidikan dan penerbitan dengan kerjasama sejarawan dan pasukan penyelidik dari UTHM dan KUIJSI dalam memperkukuh dokumentasi sejarah institusi mufti di Negeri Johor.
Sepanjang bengkel berlangsung, sesi pembentangan dan perbincangan telah menerima pandangan serta input bernilai daripada YB Dato’ Prof. Dr. Kassim bin Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah DiRaja Johor, yang memberikan penegasan terhadap aspek ketepatan fakta sejarah dan nilai autoriti kandungan.
Fokus utama bengkel ini adalah bagi meneliti dan memperkemaskan kandungan meliputi kronologi pelantikan mufti, sumbangan tokoh serta pengesahan sumber rujukan agar penulisan buku ini lebih sahih, tersusun dan berwibawa.
Bengkel ini telah mencapai objektifnya dalam memperhalusi draf Buku Biografi Mufti-Mufti Johor melalui semakan pakar yang teliti dan menyeluruh. Diharapkan hasil usaha ini akan menghasilkan sebuah karya rujukan yang berkualiti tinggi serta menjadi sumber penting dalam mendokumentasikan sejarah dan peranan institusi mufti di Negeri Johor.
#biografimuftimufti
#bahagianrujukanfatwa
















Hari Ini : 16
Bulan Ini : 578
Tahun Ini : 15041
Jumlah Pengunjung : 238692