Seminar Pendidikan Fatwa Serantau 2025M/1446H
Johor Bahru, 16 Jun 2025M / 19 Zulhijjah 1446H – Seminar Pendidikan Fatwa Serantau 2025 anjuran bersama Jabatan Mufti Johor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya di Dewan Kenanga, Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru.
Kehadiran para ilmuwan, tokoh akademik dan pengamal bidang fatwa dari dalam dan luar negara serta para peserta yang melebihi seribu orang menyerikan majlis dianjurkan.
Seminar ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.
Program dimulakan seawal jam 8.30 pagi dengan sesi pembentangan bertajuk ‘Pegangan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Alam Nusantara: Pengalaman Negara Brunei Darussalam’ yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Dato’ Seri Setia Dr. Haji Japar bin Mat Dain@Maidin (Timbalan Mufti Kerajaan, Jabatan Mufti Kerajaan Brunei Darussalam). Kemudian disusuli pembentangan kedua yang bertajuk ‘Memahami Pendekatan Fatwa Di Singgapura’ oleh Al-Fadhil Ustaz Dr. Hj Firdaus bin Yahya (Ahli Jawatankuasa Fatwa Singgapura).
Seminar ini turut menampilkan sebuah forum ilmiah bertajuk ‘Umat Bersyariat, Akidah Dimartabat : Negeri Berkat dan Berdaulat’ yang membariskan dua orang ahli panel iaitu Yang Berbahagia Tuan Haji Amran bin Awaludin (Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan JAKIM) dan Yang Berbahagia Profesor Dr. Arief Salleh bin Rosman (Dekan Fakulti Sains Sosial Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merangkap Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dan Ahli Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).
Forum ini telah dikendalikan oleh Al-Fadhil Ustaz Esby Islami bin Rifaie (Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Johor).
Seminar ini turut diserikan dengan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi kolaborasi penyelidikan dan penulisan biografi mufti-mufti Negeri Johor antara tiga pihak utama iaitu Jabatan Mufti Johor, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).
Penganjuran seminar ini menjadi medan penting dalam memperkukuhkan kefahaman berkenaan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di peringkat serantau, di samping mengukuhkan kerjasama strategik antara institusi keilmuan, penyelidikan dan pentadbiran fatwa.















Hari Ini : 180
Bulan Ini : 1678
Tahun Ini : 84206
Jumlah Pengunjung : 222598