PROGRAM IHYA’ RAMADAN DAN AGIHAN BUBUR LAMBUK DI MASJID SULTAN IBRAHIM, MUAR

PROGRAM IHYA’ RAMADAN DAN AGIHAN BUBUR LAMBUK DI MASJID SULTAN IBRAHIM, MUAR

Jumaat 27 Februari | 9 Ramadan 1447H

Alhamdulillah.. Program Ihya’ Ramadan Dan Agihan Bubur Lambuk di Masjid Sultan Ibrahim, Muar disambut dengan penuh kemeriahan dan semangat ukhuwah dengan kerjasama Jabatan Mufti Johor, Pejabat Kadi Daerah Muar dan Majlis Agama Islam Negeri Johor. 

Seawal pagi, suasana meriah dengan penyediaan bubur lambuk oleh kakitangan Jabatan Mufti Johor, Pejabat Kadi Daerah Muar dan Majlis Agama Islam Negeri Johor sebagai simbol kebersamaan dan keberkatan Ramadan.

Solat Jumaat penuh bermakna apabila khutbah Jumaat dibacakan oleh Sohibus Samahah Dato’ Haji Ahmad Faisal Bin Mohamed, Timbalan Mufti Johor dan agihan bubur lambuk kepada penduduk setempat. Kehadiran beliau menyerikan lagi program serta menyuntik semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Tazkirah Ramadan disampaikan oleh Sohibus Samahah Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad, Mufti Negeri Johor yang menekankan supaya mempertingkatkan amalan di bulan Ramadan. Selain mengingatkan agar umat Islam sentiasa mengikuti segala ketetapan yang telah dikeluarkan oleh pihak berautoriti. Program diteruskan lagi dengan penyampaian kepada ketua-ketua jabatan dan sumbangan kepada asnaf sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial terhadap mereka yang memerlukan. Program diakhiri dengan majlis berbuka puasa dan solat Maghrib.

Semoga penganjuran program seperti ini terus menjadi platform menyemarakkan syiar Islam serta mengukuhkan ukhuwah dalam masyarakat.

#jabatanmuftijohor #ihyaramadan

 

MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA NEGERI JOHOR KALI KE-348 BIL 1/2026

MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA NEGERI JOHOR KALI KE-348 BIL 1/2026

23 Februari 2026 | Isnin

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor kali ke-348 telah berlangsung di Hotel Le Grandeur, Senai, Johor. Mesyuarat dipengerusikan oleh Sohibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor. Mesyuarat ini membincangkan isu-isu fatwa terkini termasuk beberapa isu dari Muzakarah Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang telah diperkenan oleh Majllis Raja-Raja untuk ditimbal guna di negeri Johor Darul Ta’zim.

Setiap keputusan yang dicapai berlandaskan sumber hukum yang disepakati serta mengambil kira maslahat ummah. 

Bersama Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, mesyuarat ini akan memandu umat Islam di Negeri Johor untuk memperkukuhkan lagi  kefahaman agama Islam dan Pegangan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Aya’irah dan al-Maturidiyah serta demi keharmonian masyarakat supaya diamalkan dan menjadi pegangan umat Islam di Negeri Johor Darul Ta’zim.

#FatwaJohor #MesyuaratFatwa #MuftiJohor #IlmuUntukUmmah

MAJLIS CERAPAN RASMI HILAL RAMADAN 1447H / 2026M

MAJLIS CERAPAN RASMI HILAL RAMADAN 1447H / 2026M.

Pontian, 17 Februari 2026M | 29 Syaaban 1447H – Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan 1447H telah diadakan di Baitul Hilal Negeri Johor dengan kehadiran kepimpinan utama negeri serta para jemputan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaasin dan tahlil, diikuti taklimat cerapan dan sesi rukyah hilal Ramadan.

Sejurus selesai cerapan, dapatan telah dilaporkan secara rasmi ke Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia oleh Sahibus Samahah Yang Berhormat Dato’ Hj Yahya bin Hj Ahmad (Mufti Negeri Johor).

 

Lawatan Tinjauan Di Masjid Jamek Parit Lapis Simis, Batu Pahat Johor

Lawatan dan Tinjauan SS YB Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad, Mufti Negeri Johor ke Masjid Jamek Parit Lapis Simis, Batu Pahat Johor.

Satu lawatan dan tinjauan rasmi telah diadakan oleh Sahibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad, Mufti Negeri Johor ke Masjid Jamek Parit Lapis Simis, Batu Pahat bagi meneliti permohonan fatwa berkaitan penggunaan bangunan baharu masjid yang telah siap sepenuhnya.

Lawatan tersebut bertujuan untuk melihat sendiri keadaan dan kesiapsiagaan bangunan baharu berkenaan sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung keharusan penggunaannya untuk tujuan ibadah dan aktiviti keagamaan. Tinjauan ini juga memberi ruang kepada pihak pengurusan masjid untuk mengemukakan penjelasan serta dokumen berkaitan proses pembinaan yang telah dilaksanakan.

Dalam sesi tersebut, Mufti Negeri Johor turut menekankan kepentingan mematuhi garis panduan syarak dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan penggunaan bangunan masjid selari dengan hukum serta maslahat umat Islam setempat.

Lawatan ini mencerminkan komitmen pihak berkuasa agama negeri dalam memastikan setiap urusan berkaitan institusi masjid dilaksanakan dengan penuh tertib, berlandaskan hukum syarak dan demi kesejahteraan masyarakat Islam di negeri Johor.

#LawatanMufti

 

Majlis Penyerahan Agihan Wakalah Zakat i-Asnaf 2025

#Hebahan AGIHAN WAKALAH ZAKAT
i – ASNAF 2025 – BACK TO SCHOOL 

BENUT, 11 Februari 2026

Satu usaha murni menyantuni kebajikan pelajar asnaf telah dilaksanakan melalui Majlis Penyerahan Agihan Wakalah Zakat i-Asnaf 2025 bertempat di Sekolah Agama Bandar Benut, hari ini.

Sumbangan berjumlah RM106,500 ini merupakan inisiatif Dana Assyakirin Petronas dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Islam Daerah Pontian bagi membantu persiapan persekolahan murid-murid asnaf di seluruh Daerah Pontian.

Majlis telah disempurnakan oleh:
SS YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad
Mufti Negeri Johor

Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan pihak korporat dan agensi kerajaan dalam memastikan kebajikan pendidikan asnaf terpelihara, sekaligus meringankan bebanan ibu bapa bagi sesi persekolahan akan datang.

Semoga bantuan ini menjadi pemangkin semangat buat para pelajar untuk terus menuntut ilmu dengan cemerlang.

“Membangun Modal Insan, Memperkasa Ummah”