Majlis Perbarisan Dan Perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Johor Tahun 2025

“Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”

Alhamdulillah, dengan penuh semangat kemerdekaan Jabatan Mufti Johor telah menyertai dan menghantar kontinjen ke Majlis Perbarisan dan Perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 Peringkat Negeri Johor yang berlangsung di Stadium Batu Pahat, Johor.

Kontinjen Jabatan Mufti Johor yang diketuai oleh Ustaz Esby Islami bin Rifai terdiri daripada 33 orang pegawai dan kakitangan, tampil dengan penuh disiplin dan kesungguhan. Seawal jam 6.30 pagi, kontinjen ini telah bersiap sedia dengan tekad untuk mengibarkan semangat patriotisme dalam setiap langkah perarakan.

YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi turut hadir menyampaikan amanat Hari Kebangsaan, dan bersama-sama menyemarakkan lagi sambutan yang gilang-gemilang dengan penuh semangat cintakan negara.

Dengan berlandaskan tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, kontinjen Jabatan Mufti Johor melangkah gagah, menzahirkan semangat juang, kecintaan terhadap tanah air, serta tekad bersama dalam membina negara yang harmoni dan sejahtera.

Salam Kemerdekaan daripada Jabatan Mufti Johor.

 

 

Lawatan Ke Masjid Kampung Melayu Majidi, Johor Bahru

Rabu | 6 Ogos 2025
Alhamdulillah pada hari Rabu yang lepas, Jabatan Mufti Johor telah melaksanakan satu sesi lawatan bagi permohonan fatwa menggantikan kubah masjid bagi Masjid Kampung Melayu Majidi, Johor Bahru.

Lawatan ini diketuai oleh Sahibus Samahah Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor dan diiringi oleh Sahibul Fadilah Tuan Hj. Baharin bin Jalal, Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Johor.

Lawatan ini disambut oleh Imam Besar Negeri Johor, pegawai- pegawai dari Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau JAINJ serta Pejabat Kadi Daerah Johor Bahru dan ahli jawatankuasa masjid.

Tujuan lawatan ini adalah memastikan semua perkara yang berkaitan dengan permohonan fatwa menggantikan kubah masjid tersebut dapat dipatuhi sepenuhnya.

 

Majlis Tautan Ukhuwah Majlis Agama Islam Negeri Johor

Alhamdulillah, Jabatan Mufti Johor dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah berjaya menganjurkan Majlis Tautan Ukhwah bersama Jabatan Mufti Negeri Melaka.

Majlis ini diadakan bersempena siri lawatan rasmi delegasi Jabatan Mufti Negeri Melaka ke Negeri Johor, bertujuan untuk mempererat hubungan silaturrahim, memperkukuh jaringan kerjasama, serta berkongsi pengalaman dalam pengurusan hal ehwal fatwa dan pentadbiran agama Islam antara kedua-dua negeri.

Ucapan majlis telah disampaikan oleh:

• YBhg. SS Datuk Wira Hj. Abdul Halim Bin Tawil, Mufti Negeri Melaka

• YB Dato’ (Dr.) Hj. Nooh bin Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor

Majlis turut diserikan dengan kehadiran :

• YAA YB Dato’ Haji Mohd Khaldun bin Mohd Sharif, Ketua Hakim Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor.

• YBhg. Tuan Haji Ahmad Wafi bin Abdullah, Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Johor.

• Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka.

• Pegawai-pegawai kanan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Mufti Negeri Johor.

Majlis ini menjadi bukti komitmen bersama dalam memperkukuh institusi fatwa serta memperluas kerjasama antara dua buah negeri yang mempunyai sejarah dan hubungan yang erat dalam memperjuangkan kemuliaan Islam.

Semoga usaha murni ini terus diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT serta menjadi pemangkin kepada sinergi keilmuan dan pentadbiran Islam yang lebih kukuh.