Program Fenomena Istiwa’ A’dzam 1448h

PROGRAM FENOMENA ISTIWA’ A’DZAM 1448H

 16 Julai 2026 | 1 Safar 1448H

 Sekolah Agama Senai, Kulai

Alhamdulillah, Jabatan Mufti Johor dengan kerjasama Sekolah Agama Senai telah berjaya melaksanakan Program Fenomena Istiwa’ A’dzam yang melibatkan penyertaan para pelajar sekolah.

Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan arah kiblat dalam ibadah serta kaedah menentukan arah kiblat menggunakan bayang-bayang Matahari ketika berlakunya fenomena Istiwa’ A’dzam. Melalui penerangan dan aktiviti amali, para pelajar berpeluang memahami aplikasi ilmu falak dalam kehidupan seharian.

Semoga program seumpama ini dapat menyemai minat generasi muda terhadap ilmu falak Islam serta meningkatkan kefahaman mereka tentang kepentingan menentukan arah kiblat dengan tepat.

Tahniah Kepada YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi Atas Pelantikan Sebagai Menteri Besar Johor

Setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi atas pelantikan sebagai Menteri Besar Johor.

Semoga amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini dapat dilaksanakan dengan penuh dedikasi, integriti serta kebijaksanaan dalam menerajui pentadbiran Negeri Johor yang lebih maju, makmur dan berdaya saing, di samping memastikan kesejahteraan dan kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh Bangsa Johor.

Semoga Allah SWT mengurniakan petunjuk, kekuatan dan keberkatan dalam memimpin Negeri Johor Darul Ta’zim bagi tempoh lima tahun akan datang demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat. 

Tahniah dan selamat menjalankan tugas!

#MBJohor #MenteriBesarJohor #PosterJMJ

 

Penganugerahan DPIM Distinguished Islamic Leadership Award 2026

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Sahibus Samahah Yang Berhormat Dato’ Haji Ahmad Faisal Bin Mohamed, Timbalan Mufti Johor di atas penganugerahan DPIM Distinguished Islamic Leadership Award 2026 sempena DPIM Business Excellence Award 2026.

Semoga penganugerahan ini menjadi inspirasi kepada masyarakat serta pemangkin untuk terus mencurahkan ilmu, kepakaran dan kepimpinan yang cemerlang demi kemajuan Negeri Johor.

Ikhlas daripada
SS YB Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad
Mufti Negeri Johor
Pegawai serta warga kerja Jabatan Mufti Johor

#posterjmj 

 

 

Pengiktirafan Sebagai Tokoh Maal Hijrah 1448H Peringkat Negeri Johor

Setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Prof. Dato’ Dr. Kassim Bin Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor atas pengiktirafan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1448H Peringkat Negeri Johor pada 1 Muharam 1448H bersamaan 17 Jun 2026 bertempat di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

Semoga Allah SWT terus mengurniakan kesihatan yang baik, keberkatan usia, kekuatan serta kebijaksanaan kepada Yang Berhormat Prof. Dato’ dalam menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan negeri. 

Semoga pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada masyarakat serta pemangkin untuk terus mencurahkan ilmu, kepakaran dan kepimpinan yang cemerlang demi kemajuan Negeri Johor.

Ikhlas daripada
SS YB Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad
Mufti Negeri Johor
Pegawai serta warga kerja Jabatan Mufti Johor

#posterjmj

 

Program Pemurnian Melarut Abu Al-qur’an Peringkat Negeri Johor 2026

PROGRAM PEMURNIAN MELARUT ABU AL-QUR’AN PERINGKAT NEGERI JOHOR 2026

9 – 10 Jun 2026 / 22 – 23 Zulhijjah 1447H | Pulau Besar, Mersing.

Alhamdulillah, Jabatan Mufti Negeri Johor telah berjaya melaksanakan Program Pemurnian Melarut Abu Al-Qur’an Peringkat Negeri Johor 2026 dengan jayanya di perairan Pulau Besar, Mersing.

Program ini merupakan usaha berterusan Jabatan Mufti Negeri Johor dalam memastikan pelupusan bahan-bahan Al-Qur’an yang telah rosak, uzur atau tidak lagi boleh digunakan dilaksanakan dengan penuh tertib, selamat serta menepati kehendak syarak bagi memelihara kesucian kalam Allah SWT.

Operasi pelarutan abu Al-Qur’an telah dilaksanakan oleh seramai 24 orang penyelam daripada kalangan pegawai agama Negeri Johor yang terdiri daripada ahli-ahli Kelab Selam Skuba Pegawai Agama Johor. Operasi ini diketuai oleh Sohibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, bagi memastikan pelaksanaan program berjalan dengan lancar dan teratur.

Sebanyak 200 kilogram bata abu Al-Qur’an yang telah melalui proses pembakaran dan pemurnian sebelum ini telah dilarutkan di kawasan perairan yang telah ditetapkan mengikut garis panduan serta prosedur yang ditetapkan.

Program ini bukan sahaja mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Mufti Negeri Johor dalam memelihara kesucian Al-Qur’an, malah menjadi manifestasi kesungguhan warga kerja agensi agama Negeri Johor dalam melaksanakan amanah berkaitan syiar dan kemuliaan Islam.

Semoga segala usaha yang dilaksanakan ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT serta menjadi amal soleh yang berterusan dalam memelihara kesucian kalam Allah dan memperkukuhkan syiar Islam di Negeri Johor Darul Ta’zim.

#melarutabualquran #jabatanbmuftijohor

   

 

Mesyuarat Penyelarasan Program Pengukuhan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Di Sekolah-sekolah Negeri Johor Tahun 2026

MESYUARAT PENYELARASAN PROGRAM PENGUKUHAN AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH DI SEKOLAH-SEKOLAH NEGERI JOHOR TAHUN 2026

Alhamdulillah, telah berlangsung Mesyuarat Penyelarasan Program Pengukuhan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Sekolah-Sekolah Dalam Negeri Johor bagi sesi tahun ini. Program penting ini dilaksanakan di bawah seliaan penuh Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Jabatan Mufti Johor

Mesyuarat yang penuh ukhuwah dan bermakna ini telah dipengerusikan oleh Sahibus Samahah YB Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed, Timbalan Mufti Johor.

Turut hadir memberikan komitmen dalam mesyuarat ini ialah barisan kepimpinan daripada Sektor Pendidikan Islam, JPN Johor:

1  UstazMohd Azman bin Mohd Yunos

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Islam, JPN Johor

2 Ustaz Mohd Khairi bin Mabiai

Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, JPN Johor

3 Ustaz Syed Nurul Fazli bin Habit Mohd Azit

Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam, JPN Johor

Fokus & Hala Tuju Perbincangan

Fokus utama mesyuarat kali ini adalah untuk memperhalusi haluan dan penyelarasan program bagi tahun ini. Di samping itu, perbincangan juga menumpukan kepada beberapa aspek penambahbaikan bersandarkan kepada impak program yang telah jayanya dilaksanakan pada tahun lalu.

Usaha kolaboratif antara Jabatan Mufti Johor dan JPNJ ini amat kritikal bagi memastikan benteng Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah terus subur, kukuh, dan terpelihara dalam kalangan generasi muda, khususnya para pelajar di seluruh institusi pendidikan negeri Johor.

Semoga segala gerak kerja yang dirancang berjalan lancar dan mendapat keberkatan serta keredaan Allah SWT. Insya-Allah.

 

Tahniah Kepada Semua Penerima Darjah Dan Pingat

 Jabatan Mufti Johor mengucapkan Setinggi-tinggi tahniah kepada:

Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Nasri bin Md Ali
Pengarah, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, 

Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Radzi bin Haji Mohd Amin
Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Negeri Johor,

Yang Berhormat Dato’ Haji Hasrin Kamal bin Hashim Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Johor Bahru,

Yang Berhormat Dato’ Haji Mohammed Shakib bin Haji Ali Pengarah, Pejabat Tanah Dan Galian Johor,

Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Shubanah binti Yusuf Pengurus Besar, Perbadanan Islam Johor dan

Yang Berhormat CP Dato’ M. Kumar A/L S. Muthuvelu Pengarah, Jabatan Siasatan Jenayah Polis DiRaja Malaysia 

Di atas pengurniaan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua, Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang membawa gelaran Dato’ sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi DYMM Sultan Johor Tahun 2026.

Jabatan Mufti Negeri Johor merafakkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada semua penerima Darjah dan Pingat atas pengiktirafan yang dikurniakan. Semoga segala amanah yang dipikul terus dilaksanakan dengan penuh integriti, dedikasi serta menjadi pemangkin kepada kecemerlangan perkhidmatan demi agama, bangsa dan Negeri Johor Darul Ta’zim

Pada 9 Mei 2026 bersamaan 23 Zulkaedah 1447H

#posterjmj

 

 

 

 

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025

Jabatan Mufti Johor telah menganjurkan sambutan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025, serta meraikan pertukaran pegawai dan bakal jemaah haji tahun 1447H di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru pada 29 April 2026 yang lalu.  Sambutan secara sederhana tetapi meriah telah disempurnakan oleh SS YB Dato’ Hj. Yahya bin Hj. Ahmad (Mufti Negeri Johor) dengan kehadiran SS YB Dato’ Hj. Ahmad Faisal bin Mohamed (Timbalan Mufti Johor), serta seluruh warga kerja Jabatan Mufti Johor.

Sekalung tahniah diucapkan kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 :

Tn. Hj. Baharin bin Jalal
Ustaz Muhammad Noh bin Mustaffa, dan
Puan Suriati binti Mohd. Lina

Seluruh warga kerja Jabatan Mufti Johor turut meraikan keberangkatan Ustaz Fakhrurrazi bin Yusof ke tanah suci pada 07 Mei 2026 untuk mengerjakan ibadah haji dan seterusnya menjadi salah seorang Pembimbing Haji bagi Rombongan Kerajaan Johor pada tahun ini.

Pada masa yang sama, Jabatan Mufti Johor turut meraikan En. Zailani bin Abd. Aziz yang telah bertukar ke Jabatan Kerja Raya Negeri Johor berkuatkuasa pada 03 Februari 2026 yang lalu.

Semoga penganjuran program seumpama ini menjadi pemangkin semangat kepada keseluruhan warga kerja, untuk terus berkhidmat dalam situasi tenang, gembira dan saling bekerjasama.

 

 

 

 

Majlis Penyerahan Agihan Wakalah Zakat i-Asnaf 2025

#Hebahan AGIHAN WAKALAH ZAKAT
i – ASNAF 2025 – BACK TO SCHOOL 

BENUT, 11 Februari 2026

Satu usaha murni menyantuni kebajikan pelajar asnaf telah dilaksanakan melalui Majlis Penyerahan Agihan Wakalah Zakat i-Asnaf 2025 bertempat di Sekolah Agama Bandar Benut, hari ini.

Sumbangan berjumlah RM106,500 ini merupakan inisiatif Dana Assyakirin Petronas dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Islam Daerah Pontian bagi membantu persiapan persekolahan murid-murid asnaf di seluruh Daerah Pontian.

Majlis telah disempurnakan oleh:
SS YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad
Mufti Negeri Johor

Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan pihak korporat dan agensi kerajaan dalam memastikan kebajikan pendidikan asnaf terpelihara, sekaligus meringankan bebanan ibu bapa bagi sesi persekolahan akan datang.

Semoga bantuan ini menjadi pemangkin semangat buat para pelajar untuk terus menuntut ilmu dengan cemerlang.

“Membangun Modal Insan, Memperkasa Ummah”

 

Bengkel Perancangan Program dan Bajet Tahun 2026

Jabatan Mufti Johor telah menganjurkan Bengkel Perancangan Program dan Bajet Tahun 2026, bertempat di Lotus Seaview Beach Resort & Spa, Pengerang, Johor pada 21 – 22 Januari 2026. Matlamat penganjuran bengkel ini adalah untuk menetapkan perancangan serta pelaksanaan program-program yang perlu diberi keutamaan, dan pada masa yang sama membincangkan bajet-bajet yang berkaitan, supaya aktiviti / perolehan yang dilaksanakan sentiasa mematuhi prosedur kewangan yang ditetapkan.

Bengkel yang diketuai oleh SS YB Dato’ Hj. Yahya bin Hj. Ahmad (Mufti Negeri Johor) dan turut diselia oleh SS YB Dato’ Hj. Ahmad Faisal bin Mohamed (Timbalan Mufti Johor), juga melibatkan semua ketua bahagian dan beberapa orang pegawai sokongan, yang merangkumi keseluruhan organisasi di Jabatan Mufti Johor iaitu Bhg. Fatwa, Bhg. Rujukan Fatwa, Bhg. Falak, Bhg. Khidmat Pengurusan dan Sekretariat Ahli Sunnah Wal Jamaah Negeri Johor.

Dengan penganjuran bengkel ini, diharapkan Jabatan Mufti Johor bergerak mengikut perancangan, tersusun dan peruntukan sedia ada dibelanjakan mengikut persetujuan bersama. 

Penganjuran program dan aktiviti yang bakal dilaksanakan nanti, membuktikan Jabatan Mufti Johor komited berusaha memberi impak positif untuk memperkasa modal insan, serta meningkatkan kualiti hidup rakyat selaras dengan matlamat kerajaan Johor di bawah tema “Bangsa Johor Sejahtera” bagi tahun 2026.