Mesyuarat Cadangan Tulisan Khat Bagi Hiasan Dalaman Masjid Tunku Laksamana, Danga Bay, Johor Bahru

Alhamdulillah, hari ini telah berlangsung Mesyuarat Cadangan Tulisan Khat bagi Hiasan Dalaman Masjid Tunku Laksamana, Danga Bay, Johor Bahru bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Sohibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, dan turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Imam Besar Masjid Negeri Johor, Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Johor dan Yayasan Restu.

Perbincangan ini bertujuan memastikan seni khat yang bakal menghiasi ruang dalaman masjid tersebut menepati keindahan seni Islam, ketepatan ayat Al-Quran, dan kesesuaian dengan seni bina masjid, agar dapat menyerlahkan keindahan seni Islam dan menzahirkan suasana masjid yang harmoni serta menenangkan jiwa para jemaah.

Semoga hasil mesyuarat ini menghasilkan karya khat yang indah, bernilai seni tinggi dan selaras dengan syiar Islam di Negeri Johor Darul Ta’zim.

 

 

Lawatan Jabatan Mufti Johor Ke Tapak Pengalihan Kubur Lama Bagi Projek RTB Sungai Johor Fasa 1 Pakej 1 Daerah Kota Tinggi

Pada hari ini, satu lawatan oleh Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor diiringi oleh Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed, Timbalan Mufti Johor ke tapak pengalihan kubur lama di daerah Kota Tinggi telah diadakan bagi membincangkan isu pengalihan kubur dalam kawasan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Johor fasa 1 pakej 1.

Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Johor  ini melibatkan kawasan tanah perkuburan Islam yang berada dalam jajaran projek. Berikut merupakan kubur lama yang akan dialihkan bagi memastikan projek dapat berjalan dengan lancar, mematuhi hukum syarak dan menjaga sensitiviti masyarakat:

1. Makam Danau Raja
2. Makam Cekedam
3. Tanah Perkuburan Islam Kampung Panti
4. PTD 263, Batu 16, Jalan Johor

 

 

Lawatan Ke Surau Kampung Baru Pasak, Kota Tinggi, Johor

Alhamdulillah pada hari ini, Jabatan Mufti Johor telah melaksanakan satu sesi lawatan bagi permohonan fatwa menggunakan bangunan baru bagi Surau Kampung Baru Pasak, Kota Tinggi, Johor.

Lawatan ini diketuai oleh Sahibus Samahah Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed, Timbalan Mufti Johor dan diiringi oleh Sahibul Fadilah Tuan Haji Baharin Bin Jalal, Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Johor.

Lawatan ini disambut oleh wakil pegawai dari Pejabat Kadi Daerah Kota Tinggi dan ahli jawatankuasa surau. Tujuan lawatan ini adalah memastikan semua perkara yang berkaitan dengan permohonan menggunakan bangunan baru surau telah dipatuhi.

 

 

Kunjungan Hormat Johor Student’s Association Of Jordan (JJOJ) Ke Jabatan Mufti Negeri Johor

Johor Students’ Association of Jordan (JJOJ) telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Mufti Negeri Johor pada 1 Oktober 2025 (Rabu).

Kunjungan ini dipengerusikan oleh Sahibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, serta turut disertai oleh Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Ustaz Haji Baharin bin Jalal. Pertemuan ini bertujuan mengeratkan silaturrahim serta membincangkan peluang kerjasama strategik antara pihak Johor Student’s Association Of Jordan (JOJO) dan Jabatan Mufti Negeri Johor.

Rombongan turut berbesar hati menerima nasihat serta perkongsian ilmu daripada SS YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad dan Ustaz Haji Baharin bin Jalal sepanjang sesi pertemuan tersebut.