Mesyuarat Pembentangan Deraf LOI/MOU/MOA Bagi Cadangan Kajian Dan Penerbitan Buku Biografi Mufti- Mufti Negeri Johor

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Sahibus Samahah Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, telah diadakan pada 15 April 2025 bagi membentangkan deraf Letter of Intent (LOI), Memorandum of Understanding (MOU), dan Memorandum of Agreement (MOA) berkenaan cadangan kajian serta penerbitan buku biografi Mufti-Mufti Negeri Johor. Cadangan ini bertujuan mendokumentasikan sejarah dan sumbangan para Mufti Johor melalui penyelidikan ilmiah yang merangkumi temu bual, kajian arkib serta bahan rujukan lain.

Pembentangan turut menyentuh skop kerjasama antara Jabatan Mufti Negeri Johor dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), peranan masing-masing, serta struktur jawatankuasa pelaksana yang diketuai oleh Dr. Halimi binti Mohd Khalid, Pensyarah Kanan dari Fakulti Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, UTHM. Anggaran kos serta cadangan sumber pembiayaan juga telah dibincangkan.

SS Dato’ Haji Yahya menzahirkan sokongan penuh terhadap inisiatif ini dan berharap kerjasama ini dapat memperkaya khazanah keilmuan negeri Johor. Mesyuarat bersetuju untuk memperhalusi deraf yang dibentangkan sebelum dimuktamadkan dalam perbincangan seterusnya.