Majlis Mawaddah Ulama’ Dan Umara’

Khamis, 20 Jun 2025 / 23 Zulhijjah 1446H I Johor Bahru, Johor.

Pada sebelah malamnya, telah berlangsung Majlis Mawaddah Ulama’ dan Umara’, bersempena Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Kebangsaan Kali Ke-127 di Negeri Johor.

Majlis yang penuh erti ini telah menghimpunkan tetamu kehormat terdiri daripada Ahli Jawatankuasa MKI, Pegawai Tadbir Negeri, Pegawai Angkatan Tentera Malaysia, Ahli Majlis Mesyuarat MAINJ, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, Pegawai Agama Negeri, Para Ulama’ serta tetamu jemputan.

Ucapan aluan majlis telah disampaikan oleh SS YB Dato’ (Dr.) Haji Nooh bin Gadut (Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI), diikuti dengan ucapan YB Dato’ Haji Hafiz bin Haji Ahmad (Datuk Bandar MBJB), selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor.

Ucapan dan amanat yang disampaikan menekankan tentang kepentingan jalinan erat dan strategik antara ulama dan umara’ dalam memperkasa urus tadbir hal ehwal Islam serta menjamin kedaulatan negeri dan negara.

Majlis diteruskan dengan jamuan makan malam, sebelum disempurnakan dengan sesi penyampaian cenderamata kepada VIP jemputan dan ahli-ahli MKI sebagai tanda penghargaan.

Majlis seumpama ini bukan sahaja mengukuhkan silaturahim antara tokoh agama dan kepimpinan negeri, bahkan menjadi lambang sinergi yang utuh antara pentadbiran negeri dan Persekutuan dalam menjunjung amanah memperkasa syiar Islam di tanah air.

 

 

Program Menyantuni Perwira Negara

19 Jun 2025 / 22 Zulhijjah 1446H (Khamis) | Kluang, Johor.

Alhamdulillah, bersempena dengan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-127 yang sedang berlangsung di Negeri Johor, antara pengisian menarik yang telah diadakan adalah Program menyantuni perwira negara anjuran Jabatan Mufti Negeri Johor dengan kerjasama Tentera Darat Malaysia 7 Briged Kluang.

Antara pengisian program adalah acara pengendalian senjata api dan pertandingan menembak. Program ini telah berlangsung dengan jayanya di Lapang Sasar Kem Batu 3, Kluang, dengan penyertaan seramai 80 orang peserta daripada kalangan ahli mesyuarat MKI dan delegasi.

Ketibaan deligasi disambut oleh Panglima 7 Briged, Brigadier Jeneral Zulhelmi bin Masdar, bersama pegawai-pegawai kanan dan anggota Tentera Darat Malaysia 7 Briged Kluang.

Para peserta telah diberikan taklimat keselamatan dan pengendalian senjata api, diikuti dengan demonstrasi menembak oleh anggota tentera.

Acara diteruskan dengan pertandingan menembak yang berlangsung meriah dalam suasana penuh semangat dan disiplin tinggi.

Peserta berpeluang mengendalikan senjata api seperti senapang M4 dan pistol Glock 19 di bawah seliaan pegawai bertugas yang berpengalaman, memastikan aspek keselamatan sentiasa terpelihara.

Program turut dihadiri oleh YB Tuan Haji Mohd Fared bin Khalid (Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor) dan Mej Jen Dato’ Mohamad Suria bin Mohamad Saad (Panglima 3 Divisyen).

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan, disusuli dengan jamuan tengah hari.

Pengalaman yang sangat bermakna dilalui oleh setiap peserta kerana dapat merasai sebahagian kecil tugas para perwira negara untuk sentiasa siap siaga mempertahankan keselamatan dan kedaulatan demi bangsa, agama dan negara.

 

 

Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-127

Syukur ke hadrat Allah SWT, Negeri Johor Darul Ta’zim berbesar hati menjadi tuan rumah bagi penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-127 pada tahun ini.

Mesyuarat pertama telah berlangsung pada 17 Jun 2025 di Hotel DoubleTree by Hilton, Johor Bahru dengan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Yang Berhormat Dato’ (Dr) Nooh bin Gadot, dengan penyertaan Sahibus Samahah Mufti-mufti seluruh Malaysia, serta ahli-ahli MKI yang dilantik. Mesyuarat seterusnya disambung pada hari ini 18 Jun 2025 di Bilik Mesyuarat Blok C, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar bagi menyempurnakan agenda-agenda muzakarah sebagaimana yang telah ditetapkan.

Pertemuan seumpama ini menjadi platform penting untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan hal ehwal agama Islam serta memperkukuh kerjasama antara negeri-negeri dalam memperkasakan pentadbiran Islam di Malaysia.

Sementara mesyuarat berlangsung, para isteri delegasi telah dibawa mengikuti program lawatan khas ke beberapa lokasi menarik di Negeri Johor, termasuk Yayasan Warisan Johor dan Zara Foodstuff Industries Sdn. Bhd, sebelum menyertai keseluruhan peserta MKI ke jamuan makan tengah hari di Forest City Golf Resort, Gelang Patah.

Agenda MKI diteruskan dengan lawatan ke Muzium Diraja Abu Bakar,Johor Bahru. Muzium ini dahulunya dikenali sebagai Istana Besar Johor dan dibina pada tahun 1866 semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar. Bangunan bersejarah ini menampilkan seni bina Anglo-Melayu dan kini menempatkan pelbagai koleksi diraja termasuk artifak, pakaian, perhiasan, dan khazanah warisan Kesultanan Johor.

Berbaki 2 hari sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-127 melabuhkan tirai, Negeri Johor Darul Ta’zim berbesar hati terus menyantuni kesemua delegasi agar pulang ke negeri masing-masing nanti dengan membawa 1001 sejarah manis untuk dikenang.

 

 

Seminar Pendidikan Fatwa Serantau 2025M/1446H

Johor Bahru, 16 Jun 2025M / 19 Zulhijjah 1446H – Seminar Pendidikan Fatwa Serantau 2025 anjuran bersama Jabatan Mufti Johor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya di Dewan Kenanga, Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Kehadiran para ilmuwan, tokoh akademik dan pengamal bidang fatwa dari dalam dan luar negara serta para peserta yang melebihi seribu orang menyerikan majlis dianjurkan.

Seminar ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.

Program dimulakan seawal jam 8.30 pagi dengan sesi pembentangan bertajuk ‘Pegangan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Alam Nusantara: Pengalaman Negara Brunei Darussalam’ yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Dato’ Seri Setia Dr. Haji Japar bin Mat Dain@Maidin (Timbalan Mufti Kerajaan, Jabatan Mufti Kerajaan Brunei Darussalam). Kemudian disusuli pembentangan kedua yang bertajuk ‘Memahami Pendekatan Fatwa Di Singgapura’ oleh Al-Fadhil Ustaz Dr. Hj Firdaus bin Yahya (Ahli Jawatankuasa Fatwa Singgapura).

Seminar ini turut menampilkan sebuah forum ilmiah bertajuk ‘Umat Bersyariat, Akidah Dimartabat : Negeri Berkat dan Berdaulat’ yang membariskan dua orang ahli panel iaitu Yang Berbahagia Tuan Haji Amran bin Awaludin (Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan JAKIM) dan Yang Berbahagia Profesor Dr. Arief Salleh bin Rosman (Dekan Fakulti Sains Sosial Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merangkap Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dan Ahli Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Forum ini telah dikendalikan oleh Al-Fadhil Ustaz Esby Islami bin Rifaie (Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Johor).

Seminar ini turut diserikan dengan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi kolaborasi penyelidikan dan penulisan biografi mufti-mufti Negeri Johor antara tiga pihak utama iaitu Jabatan Mufti Johor, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).

Penganjuran seminar ini menjadi medan penting dalam memperkukuhkan kefahaman berkenaan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di peringkat serantau, di samping mengukuhkan kerjasama strategik antara institusi keilmuan, penyelidikan dan pentadbiran fatwa.

 

 

Program Qurban Kerabat Diraja Johor 1446H/2025M

8 Jun 2025M / 11 Zulhijjah 1446M I Pekan Nenas, Pontian.

Alhamdulilah, Jabatan Mufti Johor telah berjaya mengurus dan menganjurkan Program Qurban Kerabat Di-Raja Johor 1446H/2025M yang berlangsung di Farmstay Tanah Adlena, Kampung Maju Jaya, Pekan Nenas, Pontian, Johor.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Sohibus Samahah Yang Berhormat Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad (Mufti Negeri Johor), melibatkan pelaksanaan ibadah qurban sebanyak 24 ekor lembu yang merupakan kurniaan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong As-Sultan Ibrahim dan Seri Paduka

Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofea serta kerabat Di-Raja Johor.

Program ini merupakan manifestasi keprihatinan dan kasih sayang KDYMM Seri Paduka Baginda berdua terhadap rakyat, khususnya dalam meraikan semangat Aidiladha dengan penuh penghayatan ibadah serta pengukuhan nilai ukhuwah sesama umat Islam.

Semoga program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha menyemarakkan syiar Islam serta memperkukuhkan hubungan kasih sayang antara pihak istana dan rakyat jelata.