Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor Kali Ke-77 bilangan 1/2022

Pada hari Rabu, 9 Jamadilakhir 1443H bersamaan 12 Januari 2022 miladiah telah diadakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor Kali Ke-77 Bilangan 1/2022 yang dipengerusikan oleh Sohibus Samahah YB Dato’Haji Yahya Bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, bersama-sama 9 orang Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor termasuk Setiausaha.

Mesyuarat juga dimulakan dengan Sesi Taaruf bersama Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang baru dilantik bermula November 2021 sehingga November 2024 iaitu Sohibul Fadhilah Tuan Haji Halid bin Sono dan Sohibul Fadhilah Tuan Haji Yazid bin Bahrin.

Jabatan Mufti Negeri Johor mengalu-alukan perlantikan tersebut dan berharap ianya akan meningkatkan kualiti Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Bengkel Penyemakan Modul Sistem e-Fatwa Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Johor

Pada 24 Januari 2022 Isnin bersamaan 21 Jamadilakhir 1443H Pembentangan Modul Sistem E-Fatwa Laman Web Jabatan Mufti Johor telah diadakan di Bilik Mesyuarat Jabatan Mufti Johor dan telah dipengerusikan oleh Sohibus Samahah Yang Berhormat Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed, Timbalan Mufti Negeri Johor dan telah dihadiri oleh Ustaz Haji Mohd Azhar bin Samadun, Ketua Penolong Mufti Bahagian Rujukan Fatwa dan wakil setiap bahagian.

Pembentangan Modul Sistem E-Fatwa telah dibentangkan oleh Puan Siti Dora binti Halid Penolong Pegawai Teknologi Maklumat ICT@Johor dan turut dihadiri oleh Encik Syed Muhammad bin Syed Hussin.