Majlis Cerapan Rasmi Hilal Zulhijjah 1447h

MAJLIS CERAPAN RASMI HILAL ZULHIJJAH 1447H.

Pontian, 17 Mei 2026 / 29 Zulkaedah 1447H – telah diadakan Majlis Rasmi Cerapan Hilal Zulhijjah 1447H bertempat di Baitul Hilal, Pejabat Daerah Pontian.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, tahlil serta doa yang dipimpin oleh AF Ustaz Hj. Musa bin Muda Al-Hafiz (Imam Daerah Pontian)

Majlis dihadiri YB Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd Khalid (Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor) serta pimpinan utama agensi agama Negeri Johor, ketua-ketua jabatan, As-Sheikh Tuan-Tuan Kadi Daerah serta tetamu jemputan.

Sejuruh selepas terbenamnya bulan, SS Yang Berhormat Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad (Mufti Negeri Johor) melaporkan dapatan cerapan ke Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

Jabatan Mufti Johor merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini

 

 

 

 

Tahniah Kepada Semua Penerima Darjah Dan Pingat

 Jabatan Mufti Johor mengucapkan Setinggi-tinggi tahniah kepada:

Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Nasri bin Md Ali
Pengarah, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, 

Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Radzi bin Haji Mohd Amin
Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Negeri Johor,

Yang Berhormat Dato’ Haji Hasrin Kamal bin Hashim Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Johor Bahru,

Yang Berhormat Dato’ Haji Mohammed Shakib bin Haji Ali Pengarah, Pejabat Tanah Dan Galian Johor,

Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Shubanah binti Yusuf Pengurus Besar, Perbadanan Islam Johor dan

Yang Berhormat CP Dato’ M. Kumar A/L S. Muthuvelu Pengarah, Jabatan Siasatan Jenayah Polis DiRaja Malaysia 

Di atas pengurniaan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua, Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang membawa gelaran Dato’ sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi DYMM Sultan Johor Tahun 2026.

Jabatan Mufti Negeri Johor merafakkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada semua penerima Darjah dan Pingat atas pengiktirafan yang dikurniakan. Semoga segala amanah yang dipikul terus dilaksanakan dengan penuh integriti, dedikasi serta menjadi pemangkin kepada kecemerlangan perkhidmatan demi agama, bangsa dan Negeri Johor Darul Ta’zim

Pada 9 Mei 2026 bersamaan 23 Zulkaedah 1447H

#posterjmj

 

 

 

 

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025

Jabatan Mufti Johor telah menganjurkan sambutan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025, serta meraikan pertukaran pegawai dan bakal jemaah haji tahun 1447H di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru pada 29 April 2026 yang lalu.  Sambutan secara sederhana tetapi meriah telah disempurnakan oleh SS YB Dato’ Hj. Yahya bin Hj. Ahmad (Mufti Negeri Johor) dengan kehadiran SS YB Dato’ Hj. Ahmad Faisal bin Mohamed (Timbalan Mufti Johor), serta seluruh warga kerja Jabatan Mufti Johor.

Sekalung tahniah diucapkan kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 :

Tn. Hj. Baharin bin Jalal
Ustaz Muhammad Noh bin Mustaffa, dan
Puan Suriati binti Mohd. Lina

Seluruh warga kerja Jabatan Mufti Johor turut meraikan keberangkatan Ustaz Fakhrurrazi bin Yusof ke tanah suci pada 07 Mei 2026 untuk mengerjakan ibadah haji dan seterusnya menjadi salah seorang Pembimbing Haji bagi Rombongan Kerajaan Johor pada tahun ini.

Pada masa yang sama, Jabatan Mufti Johor turut meraikan En. Zailani bin Abd. Aziz yang telah bertukar ke Jabatan Kerja Raya Negeri Johor berkuatkuasa pada 03 Februari 2026 yang lalu.

Semoga penganjuran program seumpama ini menjadi pemangkin semangat kepada keseluruhan warga kerja, untuk terus berkhidmat dalam situasi tenang, gembira dan saling bekerjasama.

 

 

 

 

Mesyuarat Program Pengukuhan Akidah Bersama Orang Muda Johor

Kolaborasi Bermakna Demi Pemantapan Akidah Generasi Muda Johor! 

Alhamdulillah, hari ini telah berlangsungnya Mesyuarat Program Pengukuhan Akidah Bersama Orang Muda Johor, sebuah inisiatif dan anjuran bersama antara Jabatan Mufti Johor dan Universiti Kuala Lumpur, Malaysian Institute of Industrial Technology (UniKL MITEC).

Objektif utama program ini dirangka adalah bagi memperkasa dan mengukuhkan kefahaman akidah generasi muda kita. Ia berteraskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut aliran Asyairah dan Al-Maturidiyyah—selari dengan pegangan majoriti umat Islam di Malaysia, dan khususnya di Negeri Johor Darul Ta’zim.

Semoga hasil perbincangan hari ini menjadi titik tolak kepada pelbagai program ilmu yang bermanfaat demi membina benteng akidah yang kukuh buat belia kita.

Tempat: UniKL MITEC, Seri Alam
Tarikh: 5 Mei 2026
Masa: 10:00 Pagi

Sama-sama kita doakan agar segala perancangan murni ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan membawa kebaikan buat seluruh komuniti. Teruskan bersama kami untuk perkembangan dan aktiviti yang akan datang! 

#JabatanMuftiJohor #UniKLMITEC #OrangMudaJohor #AkidahAhliSunnahWalJamaah #Asyairah #Maturidiyyah #JohorDarulTazim #IlmuPelitaHidup #BeliaJohor

 

 

Bengkel Semakan Pakar

SENAI, 5 MEI 2026 – Bengkel Semakan Pakar bagi penerbitan Buku Biografi Mufti-Mufti Johor telah berjaya dilaksanakan pada 4 hingga 5 Mei 2026 di Hotel Impiana Senai sebagai satu usaha sama antara Jabatan Mufti Johor bersama pasukan penyelidik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).

Projek penerbitan buku ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Halimi binti Mohd Khalid selaku Ketua Penyelidik, yang menerajui usaha penyelidikan dan penerbitan dengan kerjasama sejarawan dan pasukan penyelidik dari UTHM dan KUIJSI dalam memperkukuh dokumentasi sejarah institusi mufti di Negeri Johor.

Sepanjang bengkel berlangsung, sesi pembentangan dan perbincangan telah menerima pandangan serta input bernilai daripada YB Dato’ Prof. Dr. Kassim bin Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah DiRaja Johor, yang memberikan penegasan terhadap aspek ketepatan fakta sejarah dan nilai autoriti kandungan.

Fokus utama bengkel ini adalah bagi meneliti dan memperkemaskan kandungan meliputi kronologi pelantikan mufti, sumbangan tokoh serta pengesahan sumber rujukan agar penulisan buku ini lebih sahih, tersusun dan berwibawa.

Bengkel ini telah mencapai objektifnya dalam memperhalusi draf Buku Biografi Mufti-Mufti Johor melalui semakan pakar yang teliti dan menyeluruh. Diharapkan hasil usaha ini akan menghasilkan sebuah karya rujukan yang berkualiti tinggi serta menjadi sumber penting dalam mendokumentasikan sejarah dan peranan institusi mufti di Negeri Johor.

#biografimuftimufti
#bahagianrujukanfatwa

 

 

Perbincangan Pelaksanaan Majlis Pengkisahan Sejarah Institusi Mufti Negeri Johor

PERBINCANGAN PELAKSANAAN MAJLIS PENGKISAHAN SEJARAH INSTITUSI MUFTI NEGERI JOHOR
Isnin, 13 April 2026 | Dalam usaha memelihara dan mengangkat warisan sejarah institusi, Jabatan Mufti Johor menerima kunjungan hormat daripada Dr. Ariffin bin Santol, Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Johor.
Kunjungan tersebut disambut oleh Pengerusi Sohibus Samahah Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad, Mufti Negeri Johor bersama Ketua Penolong Mufti Bahagian Rujukan Fatwa, Ustaz Fakhrurrazi bin Yusof serta pegawai Jabatan Mufti Johor. Turut hadir Encik Mohamad Roslaily bin Rosdi, Penolong Pengarah 1 dan Encik Mohamad Faiz bin Mahmod, Pembantu Arkib Kanan.
Perbincangan tertumpu kepada pelaksanaan Majlis Pengkisahan Sejarah Institusi Mufti Negeri Johor serta pengukuhan kerjasama dalam aspek pemeliharaan dan pendokumentasian sejarah institusi.
“Memelihara Sejarah, Mengangkat Warisan.”

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor Bil.2/2026 Kali Ke-349

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor Bil. 2/2026 Kali ke-349
30 April 2026 bersamaan 12 Zulkaedah. Mesyuarat dipengerusikan oleh SS YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad bersama kehadiran Ahli-ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada para ulama, pakar dan pegawai berkaitan.
Pelbagai perkara berkaitan hukum syarak, isu semasa umat Islam serta hal ehwal kefatwaan telah dibincangkan secara teliti dan mendalam. Setiap perbincangan mengambil kira sumber-sumber hukum yang disepakati serta pandangan ilmiah bagi memastikan keputusan yang dicapai adalah tepat, relevan dan mengambil kira kemaslahatan umat Islam.
Mesyuarat turut menzahirkan komitmen berterusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dalam memelihara kesucian agama Islam serta memastikan setiap fatwa yang dikeluarkan selari dengan tuntutan syarak dan keperluan semasa.
Mesyuarat diakhiri dengan harapan agar segala keputusan yang dipersetujui dapat dilaksanakan dengan sebaiknya serta memberi panduan yang jelas kepada umat Islam di Negeri Johor. Semoga segala usaha yang dilaksanakan mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT.