Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-127

Syukur ke hadrat Allah SWT, Negeri Johor Darul Ta’zim berbesar hati menjadi tuan rumah bagi penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-127 pada tahun ini.

Mesyuarat pertama telah berlangsung pada 17 Jun 2025 di Hotel DoubleTree by Hilton, Johor Bahru dengan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Yang Berhormat Dato’ (Dr) Nooh bin Gadot, dengan penyertaan Sahibus Samahah Mufti-mufti seluruh Malaysia, serta ahli-ahli MKI yang dilantik. Mesyuarat seterusnya disambung pada hari ini 18 Jun 2025 di Bilik Mesyuarat Blok C, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar bagi menyempurnakan agenda-agenda muzakarah sebagaimana yang telah ditetapkan.

Pertemuan seumpama ini menjadi platform penting untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan hal ehwal agama Islam serta memperkukuh kerjasama antara negeri-negeri dalam memperkasakan pentadbiran Islam di Malaysia.

Sementara mesyuarat berlangsung, para isteri delegasi telah dibawa mengikuti program lawatan khas ke beberapa lokasi menarik di Negeri Johor, termasuk Yayasan Warisan Johor dan Zara Foodstuff Industries Sdn. Bhd, sebelum menyertai keseluruhan peserta MKI ke jamuan makan tengah hari di Forest City Golf Resort, Gelang Patah.

Agenda MKI diteruskan dengan lawatan ke Muzium Diraja Abu Bakar,Johor Bahru. Muzium ini dahulunya dikenali sebagai Istana Besar Johor dan dibina pada tahun 1866 semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar. Bangunan bersejarah ini menampilkan seni bina Anglo-Melayu dan kini menempatkan pelbagai koleksi diraja termasuk artifak, pakaian, perhiasan, dan khazanah warisan Kesultanan Johor.

Berbaki 2 hari sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-127 melabuhkan tirai, Negeri Johor Darul Ta’zim berbesar hati terus menyantuni kesemua delegasi agar pulang ke negeri masing-masing nanti dengan membawa 1001 sejarah manis untuk dikenang.