Program Qurban Kerabat Diraja Johor 1446H/2025M

8 Jun 2025M / 11 Zulhijjah 1446M I Pekan Nenas, Pontian.

Alhamdulilah, Jabatan Mufti Johor telah berjaya mengurus dan menganjurkan Program Qurban Kerabat Di-Raja Johor 1446H/2025M yang berlangsung di Farmstay Tanah Adlena, Kampung Maju Jaya, Pekan Nenas, Pontian, Johor.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Sohibus Samahah Yang Berhormat Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad (Mufti Negeri Johor), melibatkan pelaksanaan ibadah qurban sebanyak 24 ekor lembu yang merupakan kurniaan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong As-Sultan Ibrahim dan Seri Paduka

Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofea serta kerabat Di-Raja Johor.

Program ini merupakan manifestasi keprihatinan dan kasih sayang KDYMM Seri Paduka Baginda berdua terhadap rakyat, khususnya dalam meraikan semangat Aidiladha dengan penuh penghayatan ibadah serta pengukuhan nilai ukhuwah sesama umat Islam.

Semoga program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha menyemarakkan syiar Islam serta memperkukuhkan hubungan kasih sayang antara pihak istana dan rakyat jelata.

 

 

Program Fenomena Istwa’ A’zam 2025M

PONTIAN | 28 Mei 2025M / 30 Zulkaedah 1446H – Jabatan Mufti Johor telah mengadakan program sempena Fenomena Istiwa’ A’zam bertempat di Sek. Agama Kg. Parit Markom, Benut, Pontian, Johor.

Program melibatkan guru-guru, pihak PIBG dan pelajar-pelajar darjah 4,5 dan 6.

Program telah dirasmikan oleh As-Sheikh Tuan Hj. Makhadir bin Abdan Al-Hafiz (Kadi Daerah Pontian). Kemudian disampaikan sesi taklimat dan praktikal kaedah penentuan arah kiblat berpandukan fenomena Istiwa’ A’dzam.

Ini merupakan pengalaman bermakna terutamanya kepada pelajar-pelajar kerana dapat mengetahui keadah yang tepat dan mudah untuk menentukan arah kiblat.

Terima kasih kepada Ustazah Hjh. Aminah bte Akib (Guru Besar), Pejabat Kadi Daerah Pontian, Pejabat Pendidikan Agama Daerah Pontian, guru-guru dan pihak PIBG Sekolah Agama Kg. Parit Markom atas kerjasama yang diberikan.

 

 

Lawatan Ke Tapak Pembangunan Surau Taman Melawati, Skudai, Johor

Alhamdulillah, pada hari ini Rabu, 14 Mei 2025, Jabatan Mufti Johor telah melaksanakan satu sesi lawatan bagi permohonan membina sebuah surau di Jalan Melawati 18, Taman Melawati, Skudai, Johor.

Lawatan ini diketuai oleh Sahibul Fadilah Tuan Haji Baharin Bin Jalal, Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Johor.

Lawatan ini disambut oleh wakil pegawai Pejabat Kadi Daerah Johor Bahru bersama Jawatankuasa surau tersebut bagi memastikan semua perkara yang berkaitan dengan permohonan membina surau telah dipatuhi.

 

 

Mesyuarat Khas Pembinaan Membaikpulih Bangunan Akademi Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) Negeri Johor Di Taman Perling, Johor Bahru

Khamis, 24 April 2025 | Satu Mesyuarat Khas berkaitan penyelarasan proses membaikpulih Bangunan Akademi Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) Negeri Johor telah diadakan dengan dipengerusikan oleh SS YB Dato’ Hj. Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, dengan penyertaan dari pegawai-pegawai JKR Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Pengerusi mengalu-alukan kehadiran semua ahli mesyuarat dan menekankan kepentingan projek pembangunan ini dalam memperkukuhkan institusi keilmuan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri Johor.

Salah satu perkara utama yang dibincangkan ialah penerangan gerak kerja menaiktaraf Bangunan Pusat Perlindungan Wanita (PPW) yang akan dijadikan Bangunan Akademi ASWAJA, oleh Pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR) meliputi perincian kos Anggaran Kos Awalan (AKA) serta skop kerja terlibat.

Skop kerja merangkumi pembaikan struktur bangunan sedia ada, penambahan ruang aktiviti dan pembelajaran, bilik mesyuarat, serta penyediaan kemudahan asas seperti bilik kaunseling, ruang solat yang lebih mesra pengguna. Kerja-kerja penyelenggaraan dan pemasangan sistem keselamatan turut disenaraikan.

Mesyuarat ditangguhkan dengan persetujuan untuk mengemukakan perancangan berkenaan ke peringkat seterusnya bagi tindakan lanjut. Diharapkan projek ini akan memberi manfaat besar kepada umat Islam, serta memperkukuh pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di seluruh di Negeri Johor Darul Ta’zim.

 

 

Kunjung Hormat Markas Grup Artileri Pertahanan Udara, Kem Bera Pahang Ke Jabatan Mufti Johor

23 April 2025 (Selasa) | Jabatan Mufti Negeri Johor telah menerima kunjung hormat daripada delegasi Markas Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU), Kem Bera Pahang yang diketuai oleh Lt M Muhammad Naqib bin Harmi (Pegawai Agama), bersama PW II Mohd Ali bin Sabtu (Penasihat Hal Ehwal Islam) dan Kpl Mohammad Hussainin bin Abdull Latif (Penyelia Hal Ehwal Islam).

Kunjung hormat ini telah disambut baik oleh Sahibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor. Pertemuan membincangkan isu-isu semasa berkaitan hukum-hakam dalam latihan ketenteraan.

Diharapkan kunjung hormat ini menjadi pemula kepada jalinan kerjasama yang lebih erat dan berterusan antara kedua-dua pihak demi kepentingan ummah dan negara.

 

 

Majlis Hari Raya Aidilfitri 2025, Bersempena Dengan Sambutan 100 Tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor

Pada hari ini 18 April 2025 di hari Jumaat yang mulia, Pusat Islam Iskandar Johor telah menganjurkan Majlis Hari Raya Aidilfitri 2025, bersempena dengan Sambutan 100 Tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor. Majlis diadakan di perkarangan Pusat Islam Iskandar Johor yang diserikan dengan kehadiran YB Tn. Hj. Mohd Fared bin Hj. Mohd Khaled selaku Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Negeri Johor.

Antara pengisian program termasuklah bacaan selawat dan marhaban, pelancaran gimik QR Zakat Harta, anugerah pewakaf, anugerah amil agihan, serta penyampaian sumbangan kepada persatuan anak yatim dan asnaf.

Jamuan menu hari raya yang serba lazat disediakan di gerai-gerai dari keseluruhan jabatan di Pusat Islam Iskandar Johor.

Jabatan Mufti Johor telah diamanahkan menyediakan pelbagai kuih muih, air panas beserta air mineral.

Kehadiran tetamu dari pelbagai pelusuk negeri turut sama menyemarakkan bulan Syawal yang mulia, dan mengukuhkan silaturrahim di antara satu sama lain.

 

 

Kunjungan Hormat Delegasi dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei Darussalam dan Universiti Teknologi Mara (UITM) Pasir Gudang

Selasa | 25 Januari 2025

Alhamdulillah, Jabatan Mufti Johor telah menerima Kunjungan Hormat Delegasi dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei Darussalam dan Universiti Teknologi Mara (UITM) Pasir Gudang, yang disambut oleh SS YB Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad, Mufti Johor dan pegawai-pegawai Jabatan Mufti Johor. Dalam ucapan pembukaannya, Mufti Negeri Johor telah menyatakan rasa berbesar hati dan mengalu-alukan kedatangan delegasi tersebut.

Kunjungan ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan, serta berkongsi maklumat berkaitan hal ehwal Islam antara institusi akademik dan pihak berautoriti agama.

Majlis diteruskan dengan sesi penerangan ringkas yang disampaikan oleh wakil dari Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), iaitu Ustaz Asraf bin Hashim selaku Penolong Pengarah Wakaf. Dalam sesi ini, beliau menerangkan mengenai peranan dan fungsi MAINJ dalam pengurusan wakaf, serta usaha-usaha yang dilaksanakan bagi memperkasa institusi wakaf di negeri Johor. Sesi ini memberi pencerahan kepada delegasi mengenai sistem wakaf yang diamalkan di negeri ini serta cabaran yang dihadapi dalam pengurusannya.

Majlis diakhiri dengan ucapan penutup serta sesi bergambar sebagai tanda penghargaan atas kunjungan yang telah diadakan. Keseluruhan kunjungan ini telah berlangsung dalam suasana mesra dan penuh manfaat, dengan harapan agar hubungan antara institusi berkaitan terus diperkukuhkan di masa akan datang.

 

Penyempurnaan Zakat oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, telah menyempurnakan pembayaran zakat sebagai manifestasi tanggungjawab dan keprihatinan terhadap kebajikan asnaf di negeri Johor. Zakat tersebut diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Tuan Haji Hasrin Kamal bin Hashim.

Turut hadir Mufti Johor, Sahibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad.

Penyempurnaan zakat ini mencerminkan komitmen berterusan institusi diraja dalam memperkukuh sistem zakat sebagai instrumen pembangunan ummah serta memastikan kebajikan golongan yang memerlukan terus terbela.

 

Majlis Amanat Mufti Negeri Johor Dan Bacaan Ikrar Bagi Pegawai Hal Ehwal Islam S9

Alhamdulillah, hari ini Jumaat 3 Januari 2025 bersempena dengan ketibaan Tahun 2025, Jabatan Mufti Johor dapat melaksanakan Majlis Amanat Mufti Negeri Johor dan Bacaan Ikrar bagi Pegawai Hal Ehwal Islam S9.

Seramai 5 orang pegawai baru lantikan secara kontrak telah selesai melapor diri pada 1.1.2025 telah membaca ikrar dan menandatangani aku janji perkhidmatan awam.

SS YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor amat bersyukur dengan pelantikan pegawai baru. Pada masa yang sama, YB Dato’ menyampaikan beberapa peringatan berkaitan KPI dan tugas-tugas yg penting untuk dilaksanakan pada tahun 2025.

Semoga dengan majlis amanat ini akan meningkatkan motivasi dan kesedaran pegawai dan wargakerja Jabatan Mufti Johor dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa.

 

 

“15 Minit Integrity First”

Sebagai menyahut kempen “Integrity First” anjuran Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Jabatan Mufti Johor pada 15 Januari 2023 telah menganjurkan program “15 Minit Integrity First” yang telah disertai oleh keseluruhan warga kerja Jabatan Mufti Johor.
Perkongsian informasi berkaitan integriti telah disampaikan oleh Tn. Hj. Mohd Mahzan bin Ibrahim Al-Hafiz selaku Pegawai Integriti di Jabatan Mufti Johor.
Program diakhiri dengan bacaan Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh SS YB Dato’ Hj. Ahmad Faisal bin Mohamed (Timbalan Mufti Negeri Johor), dan seterusnya majlis menandatangani ikrar telah disaksikan oleh SS YB Dato’ Hj. Yahya bin Hj. Ahmad (Mufti Negeri Johor).