Lawatan Pasukan Penyelidik Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) Ke Jabatan Mufti Johor

Jabatan Mufti Johor menerima kunjungan hormat pasukan penyelidik dari Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) bagi melengkapkan kajian bersama Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) untuk penerbitan Buku Tokoh-tokoh Mufti Negeri Johor.

Ketibaan delegasi disambut oleh Ketua Penolong Mufti (Bahagian Rujukan Fatwa), Ustaz Fakhrurrazi bin Yusoff, serta Penolong Pegawai Hal Ehwal Agama Islam, Ustaz Haji Mohd Na’im bin Sahair. Satu sesi perbincangan ringkas diadakan sebelum pihak delegasi meneruskan semakan bahan rujukan di Pusat Sumber Jabatan Mufti Johor (JMJ).

Sebagai tanda penghargaan atas kerjasama ilmiah ini, Sohibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, turut menyampaikan cenderamata kepada wakil pasukan penyelidik KUIJSI.

Semoga jalinan strategik ini terus mengukuhkan usaha dokumentasi serta pengkajian sejarah institusi fatwa di Negeri Johor.

 

 

Mesyuarat Cadangan Tulisan Khat Bagi Hiasan Dalaman Masjid Tunku Laksamana, Danga Bay, Johor Bahru

Alhamdulillah, hari ini telah berlangsung Mesyuarat Cadangan Tulisan Khat bagi Hiasan Dalaman Masjid Tunku Laksamana, Danga Bay, Johor Bahru bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Sohibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, dan turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Imam Besar Masjid Negeri Johor, Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Johor dan Yayasan Restu.

Perbincangan ini bertujuan memastikan seni khat yang bakal menghiasi ruang dalaman masjid tersebut menepati keindahan seni Islam, ketepatan ayat Al-Quran, dan kesesuaian dengan seni bina masjid, agar dapat menyerlahkan keindahan seni Islam dan menzahirkan suasana masjid yang harmoni serta menenangkan jiwa para jemaah.

Semoga hasil mesyuarat ini menghasilkan karya khat yang indah, bernilai seni tinggi dan selaras dengan syiar Islam di Negeri Johor Darul Ta’zim.

 

 

Kunjungan Hormat Johor Student’s Association Of Jordan (JJOJ) Ke Jabatan Mufti Negeri Johor

Johor Students’ Association of Jordan (JJOJ) telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Mufti Negeri Johor pada 1 Oktober 2025 (Rabu).

Kunjungan ini dipengerusikan oleh Sahibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, serta turut disertai oleh Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Ustaz Haji Baharin bin Jalal. Pertemuan ini bertujuan mengeratkan silaturrahim serta membincangkan peluang kerjasama strategik antara pihak Johor Student’s Association Of Jordan (JOJO) dan Jabatan Mufti Negeri Johor.

Rombongan turut berbesar hati menerima nasihat serta perkongsian ilmu daripada SS YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad dan Ustaz Haji Baharin bin Jalal sepanjang sesi pertemuan tersebut.

 

 

Perarakan Sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. Peringkat Negeri Johor 1447H/2025M

Dengan penuh rasa syukur dan cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., Jabatan Mufti Johor telah turut serta dalam perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Masjid Jamek Kluang di daerah Kluang.

Wakil kumpulan perarakan dari Jabatan Mufti Johor telah bersiap sedia seawal jam 6.30 pagi bagi menyertai program penuh barakah ini. Sepanjang perarakan, selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. bergema, menzahirkan kerinduan dan kecintaan umat Islam terhadap Baginda.

Sambutan ini bukan sekadar memperingati hari kelahiran Rasul junjungan, bahkan menjadi peluang untuk memperbanyakkan selawat serta meneladani akhlak Baginda yang mulia.

Marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., sambil menghayati sabda Baginda:

Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ

 

 

Majlis Perbarisan Dan Perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Johor Tahun 2025

“Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”

Alhamdulillah, dengan penuh semangat kemerdekaan Jabatan Mufti Johor telah menyertai dan menghantar kontinjen ke Majlis Perbarisan dan Perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 Peringkat Negeri Johor yang berlangsung di Stadium Batu Pahat, Johor.

Kontinjen Jabatan Mufti Johor yang diketuai oleh Ustaz Esby Islami bin Rifai terdiri daripada 33 orang pegawai dan kakitangan, tampil dengan penuh disiplin dan kesungguhan. Seawal jam 6.30 pagi, kontinjen ini telah bersiap sedia dengan tekad untuk mengibarkan semangat patriotisme dalam setiap langkah perarakan.

YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi turut hadir menyampaikan amanat Hari Kebangsaan, dan bersama-sama menyemarakkan lagi sambutan yang gilang-gemilang dengan penuh semangat cintakan negara.

Dengan berlandaskan tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, kontinjen Jabatan Mufti Johor melangkah gagah, menzahirkan semangat juang, kecintaan terhadap tanah air, serta tekad bersama dalam membina negara yang harmoni dan sejahtera.

Salam Kemerdekaan daripada Jabatan Mufti Johor.

 

 

Majlis Tautan Ukhuwah Majlis Agama Islam Negeri Johor

Alhamdulillah, Jabatan Mufti Johor dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah berjaya menganjurkan Majlis Tautan Ukhwah bersama Jabatan Mufti Negeri Melaka.

Majlis ini diadakan bersempena siri lawatan rasmi delegasi Jabatan Mufti Negeri Melaka ke Negeri Johor, bertujuan untuk mempererat hubungan silaturrahim, memperkukuh jaringan kerjasama, serta berkongsi pengalaman dalam pengurusan hal ehwal fatwa dan pentadbiran agama Islam antara kedua-dua negeri.

Ucapan majlis telah disampaikan oleh:

• YBhg. SS Datuk Wira Hj. Abdul Halim Bin Tawil, Mufti Negeri Melaka

• YB Dato’ (Dr.) Hj. Nooh bin Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor

Majlis turut diserikan dengan kehadiran :

• YAA YB Dato’ Haji Mohd Khaldun bin Mohd Sharif, Ketua Hakim Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor.

• YBhg. Tuan Haji Ahmad Wafi bin Abdullah, Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Johor.

• Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka.

• Pegawai-pegawai kanan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Mufti Negeri Johor.

Majlis ini menjadi bukti komitmen bersama dalam memperkukuh institusi fatwa serta memperluas kerjasama antara dua buah negeri yang mempunyai sejarah dan hubungan yang erat dalam memperjuangkan kemuliaan Islam.

Semoga usaha murni ini terus diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT serta menjadi pemangkin kepada sinergi keilmuan dan pentadbiran Islam yang lebih kukuh.

 

 

Mesyuarat Penyelarasan Program Pengukuhan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Di Sekolah – Sekolah Negeri Johor

8 JULAI 2025 bersamaan 12 MUHARAM 1447H

Alhamdulillah mesyuarat anjuran Jabatan Mufti Johor bahagian Sekretariat Akidah berkenaan Program Pengukuhan Akidah di Sekolah-Sekolah Negeri Johor berjalan dengan lancar. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Yang Berhormat Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed dihadiri wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Ustaz Mohmad Hakim bin Sohali, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam dan Tuan Mohd Khairi bin Mabiai, Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam.

Program Pengukuhan Akidah di Sekolah-Sekolah Negeri merupakan salah satu insiatif oleh Jabatan Mufti Johor untuk memperkukuh akidah umat Islam di Negeri Johor melalui pendedahan awal dari peringkat sekolah.

 

 

Lawatan Ke Surau An-Nur Kampung Sinaran Baru, Jalan Kempas Lama, Johor

Selasa | 8 Julai 2025

Alhamdulillah pada hari semalam, Jabatan Mufti Johor telah melaksanakan satu sesi lawatan bagi permohonan menaiktaraf Surau An-Nur, Kampung Sinaran Baru, Jalan Kempas Lama, Johor kepada masjid.

Lawatan ini diketuai oleh Sahibus Samahah Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, dan diiringi oleh Sahibul Fadilah Tuan Haji Baharin Bin Jalal, Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Johor.

Lawatan ini disambut oleh Tuan Kadi Daerah Johor Bahru, pegawai-pegawai Bahagian Pengurusan Masjid dan ahli jawatankuasa surau. Tujuan lawatan ini adalah memastikan semua perkara yang berkaitan dengan permohonan menaiktaraf surau kepada masjid dapat dipatuhi sepenuhnya.

 

 

Majlis Mawaddah Ulama’ Dan Umara’

Khamis, 20 Jun 2025 / 23 Zulhijjah 1446H I Johor Bahru, Johor.

Pada sebelah malamnya, telah berlangsung Majlis Mawaddah Ulama’ dan Umara’, bersempena Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Kebangsaan Kali Ke-127 di Negeri Johor.

Majlis yang penuh erti ini telah menghimpunkan tetamu kehormat terdiri daripada Ahli Jawatankuasa MKI, Pegawai Tadbir Negeri, Pegawai Angkatan Tentera Malaysia, Ahli Majlis Mesyuarat MAINJ, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, Pegawai Agama Negeri, Para Ulama’ serta tetamu jemputan.

Ucapan aluan majlis telah disampaikan oleh SS YB Dato’ (Dr.) Haji Nooh bin Gadut (Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI), diikuti dengan ucapan YB Dato’ Haji Hafiz bin Haji Ahmad (Datuk Bandar MBJB), selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor.

Ucapan dan amanat yang disampaikan menekankan tentang kepentingan jalinan erat dan strategik antara ulama dan umara’ dalam memperkasa urus tadbir hal ehwal Islam serta menjamin kedaulatan negeri dan negara.

Majlis diteruskan dengan jamuan makan malam, sebelum disempurnakan dengan sesi penyampaian cenderamata kepada VIP jemputan dan ahli-ahli MKI sebagai tanda penghargaan.

Majlis seumpama ini bukan sahaja mengukuhkan silaturahim antara tokoh agama dan kepimpinan negeri, bahkan menjadi lambang sinergi yang utuh antara pentadbiran negeri dan Persekutuan dalam menjunjung amanah memperkasa syiar Islam di tanah air.

 

 

Program Menyantuni Perwira Negara

19 Jun 2025 / 22 Zulhijjah 1446H (Khamis) | Kluang, Johor.

Alhamdulillah, bersempena dengan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-127 yang sedang berlangsung di Negeri Johor, antara pengisian menarik yang telah diadakan adalah Program menyantuni perwira negara anjuran Jabatan Mufti Negeri Johor dengan kerjasama Tentera Darat Malaysia 7 Briged Kluang.

Antara pengisian program adalah acara pengendalian senjata api dan pertandingan menembak. Program ini telah berlangsung dengan jayanya di Lapang Sasar Kem Batu 3, Kluang, dengan penyertaan seramai 80 orang peserta daripada kalangan ahli mesyuarat MKI dan delegasi.

Ketibaan deligasi disambut oleh Panglima 7 Briged, Brigadier Jeneral Zulhelmi bin Masdar, bersama pegawai-pegawai kanan dan anggota Tentera Darat Malaysia 7 Briged Kluang.

Para peserta telah diberikan taklimat keselamatan dan pengendalian senjata api, diikuti dengan demonstrasi menembak oleh anggota tentera.

Acara diteruskan dengan pertandingan menembak yang berlangsung meriah dalam suasana penuh semangat dan disiplin tinggi.

Peserta berpeluang mengendalikan senjata api seperti senapang M4 dan pistol Glock 19 di bawah seliaan pegawai bertugas yang berpengalaman, memastikan aspek keselamatan sentiasa terpelihara.

Program turut dihadiri oleh YB Tuan Haji Mohd Fared bin Khalid (Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor) dan Mej Jen Dato’ Mohamad Suria bin Mohamad Saad (Panglima 3 Divisyen).

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan, disusuli dengan jamuan tengah hari.

Pengalaman yang sangat bermakna dilalui oleh setiap peserta kerana dapat merasai sebahagian kecil tugas para perwira negara untuk sentiasa siap siaga mempertahankan keselamatan dan kedaulatan demi bangsa, agama dan negara.