Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor Kali Ke-342 BIL 1/2025

Isnin | 10 Februari 2025 bersamaan 11 Sya’ban 1446H, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor kali ke-342 Bil 1/2025 bertempat di Dewan Syura, Tingkat 5, Pusat Islam Iskandar Johor.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Sohibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya Bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, bersama-sama 8 orang Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor termasuk Setiausaha.

Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Fatwa bagi tahun 2025 ini merupakan persidangan pertama bagi AJK fatwa yang telah diperkenankan oleh KDYMM SPB YDPA Sultan Ibrahim bagi sesi 2024 hingga 2027. Sohibus Samahah YB Dato’ pengerusi mengucapkan tahniah dan berharap agar JK Fatwa negeri Johor terus dapat menyumbang bakti dalam menegakkan syariat Islam serta mempertahankan akidah ahli sunnah wal jamaah di negeri Johor Darul Ta’zim ini.

Antara perkara yang dibincangkan adalah berhubung pengurusan jenazah yang tidak diketahui identitinya, kedudukan solat bagi pesakit skizofrenia, ajaran Mhd mohib khouli Nazim, naik taraf surau Jumaat kepada masjid dan lain-lain.

Pengerusi menutup mesyuarat dengan ucapan penghargaan terhadap ahli jawatankuasa atas komitmen mereka.

 

 

 

Penyempurnaan Zakat oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, telah menyempurnakan pembayaran zakat sebagai manifestasi tanggungjawab dan keprihatinan terhadap kebajikan asnaf di negeri Johor. Zakat tersebut diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Tuan Haji Hasrin Kamal bin Hashim.

Turut hadir Mufti Johor, Sahibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad.

Penyempurnaan zakat ini mencerminkan komitmen berterusan institusi diraja dalam memperkukuh sistem zakat sebagai instrumen pembangunan ummah serta memastikan kebajikan golongan yang memerlukan terus terbela.

 

Lawatan Mufti Johor ke Surau Umar Abdul Aziz, Kulai, Johor

KULAI | 5 Februari 2025 / 6 Shaaban 1446H

Alhamdulillah, pada hari ini Rabu, 5 Februari 2025, Jabatan Mufti Johor telah melaksanakan satu sesi lawatan bagi permohonan menaik taraf surau ke masjid di Surau Umar Abdul Aziz, Jalan Enggang, Bandar Putra, Kulai, Johor.

Lawatan ini diketuai oleh Sahibus Samahah Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor dan diiringi oleh Sahibul Fadilah Tuan Haji Baharin Bin Jalal, Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Johor.

Lawatan ini disambut oleh Tuan Kadi Daerah Kulai, serta jawatankuasa surau bagi memastikan semua perkara yang berkaitan dengan permohonan menaik taraf surau ke masjid telah dipatuhi.