Bicara Akidah 2026 Perkukuh Pegangan ASWJ Dalam Kalangan Mahasiswa UTHM
PAGOH, 20 Ogos 2026 – Jabatan Mufti Johor dengan kerjasama Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (iSWAJ), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program Bicara Akidah: Mufti Bersama Mahasiswa 2026 bertempat di Dewan A9, UTHM Kampus Pagoh.
Program yang melibatkan para pelajar baru di UTHM Kampus Pagoh ini menjadi salah satu usaha berterusan dalam memperkukuh kefahaman dan penghayatan terhadap akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), khususnya dalam kalangan generasi muda yang bakal menjadi pewaris kepimpinan masyarakat pada masa akan datang.
Penganjuran program ini turut memberi ruang kepada mahasiswa untuk mendapatkan pencerahan berkaitan kepentingan akidah yang sahih sebagai asas pembentukan jati diri, pemikiran dan sahsiah seorang Muslim. Dalam mendepani perkembangan dunia semasa yang semakin kompleks, kefahaman agama yang kukuh amat penting bagi memastikan mahasiswa mampu menilai pelbagai bentuk pemikiran, fahaman dan ideologi berdasarkan neraca ilmu serta prinsip Islam yang sebenar.
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Sahibul Fadilah Tuan Haji Baharin bin Jalal, Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Johor, selaku wakil rasmi Sahibus Samahah Yang Berhormat Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad, Mufti Negeri Johor.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Prof. Ts. Dr. Azme bin Khamis, Pengerusi Majlis Profesor Universiti, selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM; YBrs. Prof. Madya Dr. Khairun Nidzam bin Ramli, Pengarah iSWAJ UTHM; YBrs. Dr. Muhammad Faizal bin Ismail, Dekan Pusat Pengajian Diploma UTHM; serta Sahibul Fadilah Tuan Haji Mahzan bin Ibrahim, Ketua Penolong Mufti Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Johor.
Program ini juga menjadi platform interaksi antara Jabatan Mufti Negeri Johor dan institusi pengajian tinggi dalam menyampaikan kefahaman Islam yang berteraskan ilmu dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiyah. Perkongsian yang diketengahkan memberi objektif yang tinggi dalam membantu mahasiswa mengenal pasti cabaran pemikiran semasa serta membina pengukuhan akidah dalam kehidupan mereka.
Kerjasama strategik antara iSWAJ UTHM, Jabatan Mufti Negeri Johor dan PPD UTHM ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasakan pendidikan akidah serta pembangunan sahsiah mahasiswa. Usaha seumpama ini wajar diteruskan melalui pelbagai program ilmu yang bersifat semasa, interaktif dan dekat dengan realiti kehidupan generasi muda.








