Lawatan Ke Masjid Ar-Raudhah As-Sakinah, Taman Pulai Emas, Kulai

LAWATAN KE MASJID AR-RAUDHAH AS-SAKINAH, TAMAN PULAI EMAS, KULAI

Rabu | 4 Mac 2026

Alhamdulillah pada hari ini, Jabatan Mufti Johor telah melaksanakan satu sesi lawatan bagi permohonan fatwa penggunaan bangunan baru bagi Masjid ar-Raudhah as-Sakinah, Taman Pulai Emas, Kulai.

Lawatan ini diketuai oleh Sahibus Samahah Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor dan  diiringi oleh Sahibul Fadilah Tuan Hj. Baharin bin Jalal, Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Johor.

Lawatan ini disambut oleh Tuan Kadi Daerah Kulai, Pegawai Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau JAINJ, Imam daerah Kulai dan ahli jawatankuasa masjid. 

Tujuan lawatan ini adalah memastikan semua perkara yang berkaitan dengan permohonan fatwa menggunakan bangunan baru bagi masjid tersebut dapat dipatuhi sepenuhnya.

#lawatanmufti

#jabatanmuftijohor #ihyaramadan

Program Ihya’ Ramadan Dan Agihan Bubur Lambuk Di Masjid Jamek Nur Saadah Felda Taib Andak, Kulai

PROGRAM IHYA’ RAMADAN DAN AGIHAN BUBUR LAMBUK DI MASJID JAMEK NUR SAADAH FELDA TAIB ANDAK, KULAI

Selasa, 3 Mac | 13 Ramadan 1447H

Alhamdulillah, Program Ihya’ Ramadan Dan Agihan Bubur Lambuk di Masjid Jamek Nur Saadah, Felda Taib Andak, Kulai disambut dengan penuh meriah dan semangat ukhuwah dengan kerjasama Jabatan Mufti Johor, Pejabat Kadi Daerah Kulai dan AJK Masjid Nur Saadah Felda Taib Andak Kulai. 

Seawal pagi, suasana meriah dengan penyediaan bubur lambuk oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Johor, Pejabat Kadi Daerah Kulai dan  AJK Masjid Nur Saadah Felda Taib Andak sebagai simbol kebersamaan dan keberkatan Ramadan.

Tazkirah Ramadan telah disampaikan oleh Sohibus Samahah Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad, Mufti Negeri Johor yang menekankan supaya mempertingkatkan amalan di bulan Ramadan. Program diteruskan dengan sumbangan kepada asnaf sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial terhadap mereka yang memerlukan. 

Seterusnya majlis berbuka puasa, solat maghrib berjamaah dan solat sunat gerhana telah dilakukan sebagai pelengkap dalam acara program ihya ramadan kali ini.

Semoga penganjuran program seperti ini terus menjadi platform menyemarakkan syiar Islam serta mengukuhkan ukhuwah dalam masyarakat.

#jabatanmuftijohor #ihyaramadan

Program Ihya’ Ramadan Dan Agihan Bubur Lambuk Di Masjid Sultan Ibrahim, Muar

PROGRAM IHYA’ RAMADAN DAN AGIHAN BUBUR LAMBUK DI MASJID SULTAN IBRAHIM, MUAR

Jumaat 27 Februari | 9 Ramadan 1447H

Alhamdulillah.. Program Ihya’ Ramadan Dan Agihan Bubur Lambuk di Masjid Sultan Ibrahim, Muar disambut dengan penuh kemeriahan dan semangat ukhuwah dengan kerjasama Jabatan Mufti Johor, Pejabat Kadi Daerah Muar dan Majlis Agama Islam Negeri Johor. 

Seawal pagi, suasana meriah dengan penyediaan bubur lambuk oleh kakitangan Jabatan Mufti Johor, Pejabat Kadi Daerah Muar dan Majlis Agama Islam Negeri Johor sebagai simbol kebersamaan dan keberkatan Ramadan.

Solat Jumaat penuh bermakna apabila khutbah Jumaat dibacakan oleh Sohibus Samahah Dato’ Haji Ahmad Faisal Bin Mohamed, Timbalan Mufti Johor dan agihan bubur lambuk kepada penduduk setempat. Kehadiran beliau menyerikan lagi program serta menyuntik semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Tazkirah Ramadan disampaikan oleh Sohibus Samahah Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad, Mufti Negeri Johor yang menekankan supaya mempertingkatkan amalan di bulan Ramadan. Selain mengingatkan agar umat Islam sentiasa mengikuti segala ketetapan yang telah dikeluarkan oleh pihak berautoriti. Program diteruskan lagi dengan penyampaian kepada ketua-ketua jabatan dan sumbangan kepada asnaf sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial terhadap mereka yang memerlukan. Program diakhiri dengan majlis berbuka puasa dan solat Maghrib.

Semoga penganjuran program seperti ini terus menjadi platform menyemarakkan syiar Islam serta mengukuhkan ukhuwah dalam masyarakat.

#jabatanmuftijohor #ihyaramadan

 

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor Kali Ke-348 Bil 1/2026

MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA NEGERI JOHOR KALI KE-348 BIL 1/2026

23 Februari 2026 | Isnin

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor kali ke-348 telah berlangsung di Hotel Le Grandeur, Senai, Johor. Mesyuarat dipengerusikan oleh Sohibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor. Mesyuarat ini membincangkan isu-isu fatwa terkini termasuk beberapa isu dari Muzakarah Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang telah diperkenan oleh Majllis Raja-Raja untuk ditimbal guna di negeri Johor Darul Ta’zim.

Setiap keputusan yang dicapai berlandaskan sumber hukum yang disepakati serta mengambil kira maslahat ummah. 

Bersama Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, mesyuarat ini akan memandu umat Islam di Negeri Johor untuk memperkukuhkan lagi  kefahaman agama Islam dan Pegangan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Aya’irah dan al-Maturidiyah serta demi keharmonian masyarakat supaya diamalkan dan menjadi pegangan umat Islam di Negeri Johor Darul Ta’zim.

#FatwaJohor #MesyuaratFatwa #MuftiJohor #IlmuUntukUmmah

Lawatan Tinjauan Di Masjid Jamek Parit Lapis Simis, Batu Pahat Johor

Lawatan dan Tinjauan SS YB Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad, Mufti Negeri Johor ke Masjid Jamek Parit Lapis Simis, Batu Pahat Johor.

Satu lawatan dan tinjauan rasmi telah diadakan oleh Sahibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad, Mufti Negeri Johor ke Masjid Jamek Parit Lapis Simis, Batu Pahat bagi meneliti permohonan fatwa berkaitan penggunaan bangunan baharu masjid yang telah siap sepenuhnya.

Lawatan tersebut bertujuan untuk melihat sendiri keadaan dan kesiapsiagaan bangunan baharu berkenaan sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung keharusan penggunaannya untuk tujuan ibadah dan aktiviti keagamaan. Tinjauan ini juga memberi ruang kepada pihak pengurusan masjid untuk mengemukakan penjelasan serta dokumen berkaitan proses pembinaan yang telah dilaksanakan.

Dalam sesi tersebut, Mufti Negeri Johor turut menekankan kepentingan mematuhi garis panduan syarak dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan penggunaan bangunan masjid selari dengan hukum serta maslahat umat Islam setempat.

Lawatan ini mencerminkan komitmen pihak berkuasa agama negeri dalam memastikan setiap urusan berkaitan institusi masjid dilaksanakan dengan penuh tertib, berlandaskan hukum syarak dan demi kesejahteraan masyarakat Islam di negeri Johor.

#LawatanMufti

 

Lawatan Mufti Johor Ke Surau Al-jazari, Institut Latihan Perindustrian (IlP) Tangkak

LAWATAN MUFTI JOHOR KE SURAU AL-JAZARI, INSTITUT LATIHAN PERINDUSTRIAN (ILP) TANGKAK

Jumaat | 2 Januari 2026 Jabatan Mufti Johor telah mengadakan Lawatan Kerja ke Surau Al-Jazari, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Tangkak berhubung permohonan mengadakan Solat Jumaat di surau berkenaan.

Lawatan ini telah diketuai oleh Sahibus Samahah Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, bersama pegawai Jabatan Mufti Johor bagi meneliti aspek keperluan, kemudahan serta kesesuaian pelaksanaan Solat Jumaat selaras dengan ketetapan hukum syarak.

Sepanjang lawatan, sesi perbincangan dan penilaian telah dijalankan bersama pihak pengurusan ILP Tangkak dan lawatan ini telah disambut baik oleh pihak institut sebagai usaha bersama dalam memperkasakan pengimarahan surau serta memudahkan pelaksanaan ibadah dalam kalangan warga ILP Tangkak.

#lawatankerja

#jabatanmuftijohor

 

 

 

Townhall Kuda Kepang Negeri Johor 2025

Jabatan Mufti Johor telah menganjurkan Townhall Kuda Kepang Negeri Johor bertempat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Batu Pahat, bermula jam 7.30 pagi hingga 1.00 tengah hari.

Program ini menerima sambutan yang sangat menggalakkan, terutamanya melalui penglibatan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Johor, pegawai-pegawai daerah, Yayasan Warisan Negeri Johor, Majlis Kebudayaan Negeri Johor, Tourism Johor, para penggiat seni Kuda Kepang, para guru takmir, wakil Persatuan Qurrā’ Negeri Johor, serta masyarakat setempat yang hadir untuk mendapatkan pencerahan mengenai garis panduan dan kefahaman hukum berkaitan kesenian Kuda Kepang.

Majlis dimulakan dengan pendaftaran peserta dan bacaan doa sebelum diteruskan dengan dua sesi pembentangan utama.

Pembentangan pertama bertajuk “Pengenalan Garis Panduan Kuda Kepang dan Pemerkasaan Fatwa di Negeri Johor”, disampaikan oleh Sahibul Fadhilah Tuan Haji Baharin bin Jalal, Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Johor.

Pembentangan kedua pula bertajuk “Elemen-elemen Sesat Kuda Kepang”, dibentangkan oleh Dr. Nur Zainatul Nadra binti Zainal, Ketua Jabatan Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah UTHM.

Garis panduan yang dibentangkan dalam program ini merupakan hasil penyelidikan komprehensif yang dijalankan oleh pasukan penyelidik Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (IASWJ) UTHM dengan kerjasama Jabatan Mufti Johor, yang bertujuan memastikan kesenian Kuda Kepang dapat dipelihara mengikut ketetapan syarak tanpa menjejaskan warisan budaya masyarakat.

Sesi Townhall Fatwa Kuda Kepang kemudian berlangsung dengan tajuk “Kuda Kepang di Negeri Johor”, disertai tayangan montaj dan perbincangan panel bersama:
1. Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed
Timbalan Mufti Negeri Johor
2. Sahibul Fadhilah Tuan Haji Halid bin Sono
Kadi Besar Negeri Johor
3. Dr. Nur Zainatul Nadra binti Zainal
Ketua Jabatan Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah UTHM

Moderator:
Ustaz Esby Islami bin Rifai, Penolong Mufti, Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Johor.

Majlis diserikan dengan ucapan perasmian oleh Sahibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, diikuti Pelancaran Buku Garis Panduan Kuda Kepang Johor sebagai rujukan rasmi kepada semua pihak berkepentingan dalam memelihara kesenian tradisi ini mengikut ketetapan syarak.

Suasana sepanjang program amat positif dengan penglibatan aktif para peserta daripada pelbagai latar belakang, menunjukkan komitmen bersama dalam memastikan kesenian Kuda Kepang terus dipelihara sebagai warisan negeri Johor yang selari dengan tuntutan syariat.

Semoga usaha ini memperkukuhkan kefahaman masyarakat serta memantapkan pelaksanaan garis panduan dan fatwa berkaitan Kuda Kepang di Negeri Johor.

 

 

 

Lawatan Rasmi Dato’ Timbalan Mufti Johor Ke Daerah Kluang Berkaitan Permohonan Fatwa Solat Jumaat Di Surau

Kluang, Johor – Satu lawatan kerja rasmi oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed Timbalan Mufti Johor telah berlangsung di beberapa surau terpilih di daerah Kluang sebagai sebahagian daripada proses penelitian awal permohonan fatwa bagi pelaksanaan Solat Jumaat di surau-surau berkenaan.

Lawatan ini bertujuan menilai secara menyeluruh keperluan, kesesuaian dan kemampuan surau terlibat dalam melaksanakan Solat Jumaat, selaras dengan kehendak syarak serta garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berautoriti agama negeri Johor.

Dalam sesi lawatan tersebut, Dato’ Timbalan Mufti Johor turut berdialog bersama pihak pengurusan surau, imam, serta wakil masyarakat setempat bagi mendapatkan maklum balas dan memahami situasi sebenar di lapangan. Penilaian turut mengambil kira aspek kapasiti jemaah, kedudukan lokasi, struktur fizikal surau, serta faktor kemaslahatan ummah.

Beliau menegaskan bahawa setiap keputusan fatwa yang dikeluarkan mestilah berpaksikan nas syarak, maslahat umum dan kepentingan umat Islam secara keseluruhan, bukan sekadar berdasarkan permohonan semata-mata.

“Fatwa bukan hanya keputusan hukum, tetapi amanah besar yang memerlukan penelitian yang teliti, kefahaman mendalam, serta pertimbangan manfaat kepada masyarakat,” ujar beliau ketika sesi kunjungan.

Lawatan ini mencerminkan komitmen tinggi Jabatan Mufti Johor dalam memastikan pelaksanaan ibadah umat Islam di negeri ini berjalan dengan tertib, sah dan berlandaskan hukum yang tepat. Hasil lawatan tersebut akan dibawa ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor bagi kajian lanjut sebelum sebarang keputusan rasmi dibuat.

 

 

Lawatan Rasmi Jabatan Mufti Johor Ke Daerah Pontian

Dimaklumkan bahawa pada 18 November 2025 (Selasa), Jabatan Mufti Johor telah mengadakan lawatan rasmi ke Masjid Kampung Parit Kudus di dalam permohonan fatwa Baik Pulih Masjid yang memerlukan penutupan sementara Masjid semasa didalam proses pembaikan.

Lawatan ini turut disertai oleh:
• SS YB Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed, Timbalan Mufti Johor
• SF Tuan Haji Baharin bin Jalal, KPM Fatwa Jabatan Mufti Johor
• Penolong Pegawai HEI, PMS HQ (Wakil Rasmi KPP PMS)
• Pegawai-pegawai Jabatan Mufti Johor

Semoga lawatan ini dapat mengeratkan hubungan serta memperkukuh kerjasama antara pihak Jabatan Mufti Johor dan komuniti setempat.

 

 

Lawatan Jabatan Mufti Johor Ke Tapak Pengalihan Kubur Lama Bagi Projek RTB Sungai Johor Fasa 1 Pakej 1 Daerah Kota Tinggi

Pada hari ini, satu lawatan oleh Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor diiringi oleh Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed, Timbalan Mufti Johor ke tapak pengalihan kubur lama di daerah Kota Tinggi telah diadakan bagi membincangkan isu pengalihan kubur dalam kawasan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Johor fasa 1 pakej 1.

Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Johor  ini melibatkan kawasan tanah perkuburan Islam yang berada dalam jajaran projek. Berikut merupakan kubur lama yang akan dialihkan bagi memastikan projek dapat berjalan dengan lancar, mematuhi hukum syarak dan menjaga sensitiviti masyarakat:

1. Makam Danau Raja
2. Makam Cekedam
3. Tanah Perkuburan Islam Kampung Panti
4. PTD 263, Batu 16, Jalan Johor