Townhall Kuda Kepang Negeri Johor 2025

Jabatan Mufti Johor telah menganjurkan Townhall Kuda Kepang Negeri Johor bertempat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Batu Pahat, bermula jam 7.30 pagi hingga 1.00 tengah hari.

Program ini menerima sambutan yang sangat menggalakkan, terutamanya melalui penglibatan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Johor, pegawai-pegawai daerah, Yayasan Warisan Negeri Johor, Majlis Kebudayaan Negeri Johor, Tourism Johor, para penggiat seni Kuda Kepang, para guru takmir, wakil Persatuan Qurrā’ Negeri Johor, serta masyarakat setempat yang hadir untuk mendapatkan pencerahan mengenai garis panduan dan kefahaman hukum berkaitan kesenian Kuda Kepang.

Majlis dimulakan dengan pendaftaran peserta dan bacaan doa sebelum diteruskan dengan dua sesi pembentangan utama.

Pembentangan pertama bertajuk “Pengenalan Garis Panduan Kuda Kepang dan Pemerkasaan Fatwa di Negeri Johor”, disampaikan oleh Sahibul Fadhilah Tuan Haji Baharin bin Jalal, Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Johor.

Pembentangan kedua pula bertajuk “Elemen-elemen Sesat Kuda Kepang”, dibentangkan oleh Dr. Nur Zainatul Nadra binti Zainal, Ketua Jabatan Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah UTHM.

Garis panduan yang dibentangkan dalam program ini merupakan hasil penyelidikan komprehensif yang dijalankan oleh pasukan penyelidik Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (IASWJ) UTHM dengan kerjasama Jabatan Mufti Johor, yang bertujuan memastikan kesenian Kuda Kepang dapat dipelihara mengikut ketetapan syarak tanpa menjejaskan warisan budaya masyarakat.

Sesi Townhall Fatwa Kuda Kepang kemudian berlangsung dengan tajuk “Kuda Kepang di Negeri Johor”, disertai tayangan montaj dan perbincangan panel bersama:
1. Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed
Timbalan Mufti Negeri Johor
2. Sahibul Fadhilah Tuan Haji Halid bin Sono
Kadi Besar Negeri Johor
3. Dr. Nur Zainatul Nadra binti Zainal
Ketua Jabatan Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah UTHM

Moderator:
Ustaz Esby Islami bin Rifai, Penolong Mufti, Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Johor.

Majlis diserikan dengan ucapan perasmian oleh Sahibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, diikuti Pelancaran Buku Garis Panduan Kuda Kepang Johor sebagai rujukan rasmi kepada semua pihak berkepentingan dalam memelihara kesenian tradisi ini mengikut ketetapan syarak.

Suasana sepanjang program amat positif dengan penglibatan aktif para peserta daripada pelbagai latar belakang, menunjukkan komitmen bersama dalam memastikan kesenian Kuda Kepang terus dipelihara sebagai warisan negeri Johor yang selari dengan tuntutan syariat.

Semoga usaha ini memperkukuhkan kefahaman masyarakat serta memantapkan pelaksanaan garis panduan dan fatwa berkaitan Kuda Kepang di Negeri Johor.