Lawatan Penanda Aras Pengurusan, Penerbitan Dan Pendigitalan Bahan Jabatan Mufti Johor
LAWATAN PENANDA ARAS PENGURUSAN, PENERBITAN DAN PENDIGITALAN BAHAN JABATAN MUFTI JOHOR
KUALA LUMPUR, 29–30 SEPTEMBER 2026 | Jabatan Mufti Johor telah mengadakan Lawatan Penanda Aras ke beberapa institusi utama di Kuala Lumpur bagi mendapatkan perkongsian ilmu dan amalan terbaik dalam bidang penerbitan, pengurusan dokumen dan pendigitalan bahan. Delegasi diketuai oleh Tuan Haji Fakhrurrazi bin Yusof, KPM Bahagian Rujukan Fatwa, bersama pegawai-pegawai Jabatan Mufti Johor.
Pada hari pertama, delegasi mengadakan lawatan ke Perpustakaan Tun Seri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia dan disambut oleh En. Hazmir bin Haji Zainal, Ketua Pustakawan Perpustakaan UKM serta warga kerja PTSL UKM. Delegasi turut diberi pendedahan mengenai pengurusan koleksi, pemeliharaan bahan serta pengurusan dan pemprosesan bahan digital di Bahagian Media bagi tujuan penyimpanan, penerbitan dan akses kepada pengguna.
Lawatan diteruskan ke Arkib Negara Malaysia bagi sesi perkongsian berkaitan pengurusan rekod, bahan arkib dan pendigitalan yang dipengerusikan oleh Puan Gowri a/p P. S. Thangaya, Pengarah Bahagian Pengurusan Rekod Kerajaan. Delegasi turut dibawa ke Makmal Pemuliharaan bagi melihat proses pemeriksaan, pemulihan dan baik pulih dokumen arkib yang mengalami kerosakan. Proses pemuliharaan di makmal arkib melibatkan pemeriksaan keadaan bahan, pembersihan, rawatan kerosakan seperti koyak, kulat dan kesan air, serta pemulihan menggunakan kaedah dan bahan yang sesuai tanpa menjejaskan keaslian bahan. Selepas dipulihara, bahan akan disimpan dalam keadaan terkawal dari segi suhu, kelembapan, cahaya dan keselamatan, serta boleh melalui proses pendigitalan sebagai langkah perlindungan dan akses jangka panjang.
Pada hari kedua, delegasi meneruskan lawatan ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sesi yang dipengerusikan oleh Yang Mulia Tengku Fauziah binti Ku Mat, Ketua Editor Bahagian Buku Umum, DBP, memberi fokus kepada proses penerbitan bahan Jabatan Mufti Johor, merangkumi penyediaan bahan, penyuntingan, semakan, reka bentuk, pracetak dan percetakan sehingga diterbitkan oleh DBP.
Lawatan penanda aras ini memberikan pendedahan dan panduan kepada Jabatan Mufti Johor dalam memperkemas pengurusan penerbitan, arkib dan pendigitalan bahan, sekali gus menyokong usaha mempertingkat pengurusan ilmu serta penyampaian maklumat kepada masyarakat.
#JabatanMuftiJohor #LawatanPenandaAras #Penerbitan #PengurusanArkib #Pendigitalan






