Lawatan Penanda Aras Jabatan Mufti Johor Ke Jabatan Mufti Negeri Terengganu
LAWATAN PENANDA ARAS JABATAN MUFTI JOHOR KE JABATAN MUFTI NEGERI TERENGGANU
KUALA TERENGGANU | 27 OKTOBER 2026 Delegasi Jabatan Mufti Negeri Johor telah mengadakan Lawatan penanda aras ke Jabatan Mufti Negeri Terengganu bagi memperkukuh hubungan kerjasama serta berkongsi pengalaman dalam pengurusan fatwa dan pentadbiran institusi mufti.
Delegasi Jabatan Mufti Johor diketuai oleh SS Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed, Timbalan Mufti Johor sebagai wakil rasmi SS Dato’ Mufti Johor yang turut diiringi Tuan Haji Fakhrurrazi bin Yusof serta pegawai-pegawai Jabatan Mufti Johor. Ketibaan delegasi telah disambut oleh YBM Prof. Dr. Syed Hadzrullathfi bin Syed Omar, Sahibus Samahah Dato’ Mufti Negeri Terengganu, Dr. Haji Ahmad Fadluldin bin Mohamad Timbalan Mufti dan warga kerja Jabatan Mufti Negeri Terengganu.
Lawatan ini merangkumi sesi perbincangan dan perkongsian maklumat berkaitan pengurusan serta pelaksanaan fatwa, struktur organisasi dan pentadbiran jabatan, termasuk peranan serta fungsi setiap bahagian dalam memastikan kelancaran pengurusan institusi mufti. Perbincangan ini turut menjadi platform pertukaran pandangan dan pengalaman bagi memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keberkesanan pengurusan hal ehwal Islam.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh perkembangan terkini pengurusan media sosial dan penggunaan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI) dalam institusi Islam. Perkongsian ini memberi tumpuan kepada pemanfaatan teknologi digital bagi memperluas penyampaian maklumat Islam, meningkatkan keberkesanan komunikasi dengan masyarakat serta memastikan kandungan yang disampaikan kekal tepat, sahih dan berlandaskan sumber agama yang berautoriti.
Diharapkan lawatan ini dapat mempererat hubungan kerjasama antara Jabatan Mufti Johor dengan Jabatan Mufti Negeri Terengganu, di samping memperkukuh perkongsian ilmu, amalan terbaik dan inovasi digital demi memartabatkan institusi mufti serta memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.








