Program Pemurnian Melarut Abu Al-qur’an Peringkat Negeri Johor 2026
PROGRAM PEMURNIAN MELARUT ABU AL-QUR’AN PERINGKAT NEGERI JOHOR 2026
9 – 10 Jun 2026 / 22 – 23 Zulhijjah 1447H | Pulau Besar, Mersing.
Alhamdulillah, Jabatan Mufti Negeri Johor telah berjaya melaksanakan Program Pemurnian Melarut Abu Al-Qur’an Peringkat Negeri Johor 2026 dengan jayanya di perairan Pulau Besar, Mersing.
Program ini merupakan usaha berterusan Jabatan Mufti Negeri Johor dalam memastikan pelupusan bahan-bahan Al-Qur’an yang telah rosak, uzur atau tidak lagi boleh digunakan dilaksanakan dengan penuh tertib, selamat serta menepati kehendak syarak bagi memelihara kesucian kalam Allah SWT.
Operasi pelarutan abu Al-Qur’an telah dilaksanakan oleh seramai 24 orang penyelam daripada kalangan pegawai agama Negeri Johor yang terdiri daripada ahli-ahli Kelab Selam Skuba Pegawai Agama Johor. Operasi ini diketuai oleh Sohibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, bagi memastikan pelaksanaan program berjalan dengan lancar dan teratur.
Sebanyak 200 kilogram bata abu Al-Qur’an yang telah melalui proses pembakaran dan pemurnian sebelum ini telah dilarutkan di kawasan perairan yang telah ditetapkan mengikut garis panduan serta prosedur yang ditetapkan.
Program ini bukan sahaja mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Mufti Negeri Johor dalam memelihara kesucian Al-Qur’an, malah menjadi manifestasi kesungguhan warga kerja agensi agama Negeri Johor dalam melaksanakan amanah berkaitan syiar dan kemuliaan Islam.
Semoga segala usaha yang dilaksanakan ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT serta menjadi amal soleh yang berterusan dalam memelihara kesucian kalam Allah dan memperkukuhkan syiar Islam di Negeri Johor Darul Ta’zim.















Hari Ini : 57
Bulan Ini : 1832
Tahun Ini : 18346
Jumlah Pengunjung : 241997