Kursus Keselamatan Kebakaran Jabatan Mufti Johor Bersama BBP Larkin
KURSUS KESELAMATAN KEBAKARAN JABATAN MUFTI JOHOR BERSAMA BBP LARKIN
17 September 2026 | Larkin, Johor Bahru – Keselamatan bukan sekadar pengetahuan, tetapi memerlukan kesiapsiagaan, ketenangan dan tindakan yang tepat apabila berdepan situasi kecemasan.
Sehubungan itu, Jabatan Mufti Johor telah mengadakan Kursus Keselamatan Kebakaran bersama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, melibatkan seramai 32 orang pegawai dan kakitangan. Kursus yang diadakan di BBP Larkin ini bertujuan memperkukuh pengetahuan serta kemahiran warga jabatan dalam aspek pencegahan, pengurusan dan tindakan awal ketika berlaku kecemasan.
Kursus dimulakan dengan Ucaptama oleh SS YB. Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed, Timbalan Mufti Johor, diikuti Taklimat Pengurusan Keselamatan Kebakaran oleh TPgB I Haji Mohd Suhaimi bin Abdul Jamal, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Larkin.
Lebih bermakna, peserta bukan sekadar mengikuti sesi taklimat, malah diberi pendedahan secara hands-on melalui pelbagai latihan praktikal melibatkan penggunaan alat pemadam api, simulasi kebakaran besar, simulasi kebakaran kenderaan, Basic First Aid, Basic CPR serta Simulasi Bilik Gelap (BA Galeri).
Turut hadir bersama menyantuni warga jabatan ialah YB. Dato’ Mufti Johor, SS YB. Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad. Dalam sesi penutupan, beliau turut mengambil bahagian dalam latihan memadam kebakaran kenderaan, sebagai simbolik penutupan kursus, sebelum menyampaikan ucapan penghargaan kepada pihak BBP Larkin atas perkongsian ilmu dan latihan yang diberikan.
Program kemudiannya diakhiri dengan penyampaian cenderahati serta sesi bergambar sebagai tanda penghargaan dan pengukuhan hubungan kerjasama antara Jabatan Mufti Johor dan BBP Larkin.
Kesiapsiagaan tidak bermula ketika kecemasan berlaku. Ia bermula dengan ilmu, latihan dan keberanian untuk bertindak.
SIAGA, CEKAP, SELAMAT.
#JabatanMuftiJohor #BBPLarkin #KursusKeselamatanKebakaran #KeselamatanDiutamakan








