Lawatan Penanda Aras Jabatan Mufti Johor Ke Jabatan Mufti Negeri Kelantan
LAWATAN PENANDA ARAS JABATAN MUFTI JOHOR KE JABATAN MUFTI NEGERI KELANTAN
Delegasi Jabatan Mufti Johor telah mengadakan lawatan penanda aras ke Jabatan Mufti Negeri Kelantan bagi memperluas perkongsian ilmu, menimba pengalaman serta memperkukuh jalinan kerjasama antara institusi kefatwaan negeri.
Rombongan Jabatan Mufti Johor diketuai oleh Sohibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, dan turut disertai oleh Sohibus Samahah YB Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed, Timbalan Mufti Johor, serta pegawai-pegawai Jabatan Mufti Negeri Johor.
Ketibaan rombongan telah disambut oleh Sohibus Samahah YB Dato’ Kaya Perba Dato’ Haji Shukri bin Mohamad, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, bersama Sohibus Samahah YB Dato’ Biji Sura Dato’ Nik Abd Kadir Nik Mohamad, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, serta warga kerja Jabatan Mufti Negeri Kelantan.
Lawatan ini menjadi platform yang amat baik bagi kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman berkaitan pengurusan fatwa, pentadbiran hal ehwal agama serta usaha memelihara kemurnian akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Negeri Kelantan turut dikenali dengan tradisi keilmuan Islam yang tersendiri serta melahirkan ramai tokoh ulama berpengaruh, termasuk Tok Kenali, yang menjadi sebahagian daripada warisan keilmuan Islam di Nusantara.
Antara perkara yang diberikan perhatian dalam perbincangan ialah cabaran penyebaran maklumat agama melalui media sosial dan penggunaan Artificial Intelligence (AI) yang semakin meluas. Perkembangan ini menuntut pendekatan yang lebih tersusun bagi memastikan maklumat berkaitan hukum syarak dan akidah yang disampaikan kepada masyarakat adalah tepat, berautoriti serta bersumberkan rujukan yang muktabar.
Perbincangan turut merangkumi aspek perundangan berkaitan pentadbiran institusi Mufti, termasuklah yang yang berhubung kait dengan falak. Perkongsian pengalaman ini diharapkan dapat menjadi input berguna dalam meneliti amalan terbaik yang bersesuaian untuk memperkukuh kerangka pentadbiran kefatwaan di Negeri Johor.
Dalam usaha memperkasa pendidikan akidah, Jabatan Mufti Negeri Johor turut berkongsi inisiatif pembangunan Akademi Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang memberi tumpuan kepada pengukuhan kefahaman akidah berteraskan manhaj Imam Abu al-Hasan al-Asy‘ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Inisiatif ini dirancang untuk diperluas melalui program pendidikan dan pengukuhan akidah yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
Jabatan Mufti Negeri Johor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Sohibus Samahah YB Dato’ Kaya Perba Dato’ Haji Shukri bin Mohamad, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan serta seluruh warga kerja Jabatan Mufti Negeri Kelantan atas kesudian menerima kunjungan dan berkongsi pengalaman serta pandangan yang amat bermakna.
Semoga lawatan ini menjadi pemangkin kepada hubungan kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua institusi, berteraskan semangat ta‘awun (saling membantu), ukhuwah dan tanggungjawab bersama dalam memartabatkan institusi Mufti serta memelihara kesucian agama Islam.
Jabatan Mufti Negeri Johor








