Sesi Kunjung Hormat Persatuan Pelajar Johor Mesir Bersama Mufti Johor

SESI KUNJUNG HORMAT PERSATUAN PELAJAR JOHOR MESIR BERSAMA MUFTI JOHOR

Satu sesi kunjung hormat dan pertemuan bersama wakil Persatuan Pelajar Johor Mesir (PPJM) telah diadakan dengan dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Yang Berhormat Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad, Mufti Negeri Johor.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Sahibul Fadhilah Tuan Haji Baharin bin Jalal, Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Ustaz Fakhrurrazi bin Yusof, Ketua Penolong Mufti, Bahagian Rujukan Fatwa, Ustaz Esby Islami bin Rifai, Ketua Sekretariat Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) serta pegawai-pegawai Jabatan Mufti Johor.

Dalam pertemuan tersebut, pihak PPJM telah membentangkan profil persatuan, struktur organisasi serta pelbagai program yang dilaksanakan bagi memperkukuh aspek kebajikan, akademik, dakwah dan hubungan silaturahim dalam kalangan mahasiswa Johor di Mesir.

Pertemuan ini juga menjadi ruang perbincangan mengenai isu, cabaran dan kebajikan mahasiswa Johor di Mesir, selain cadangan pelaksanaan program ilmiah bersama Jabatan Mufti Johor bagi meningkatkan kefahaman pelajar berkaitan pentadbiran agama Islam dan Enakmen Undang-Undang Negeri Johor.

Semoga pertemuan ini dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara Jabatan Mufti Johor dan PPJM, seterusnya menyokong pembangunan mahasiswa Johor yang berilmu, berakhlak serta bersedia menyumbang kepada agama, bangsa dan negeri Johor.