Tafaqquh Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Daerah Johor Bahru
TAFAQQUH AQIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH DAERAH JOHOR BAHRU
ULU TIRAM, 12–13 Ogos 2026 – Jabatan Mufti Johor dengan kerjasama Pejabat Kadi Daerah Johor Bahru telah menganjurkan Program Tafaqquh Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Daerah Johor Bahru bertempat di White Hall, Savanna Hill Resort, Ulu Tiram, Johor.
Majlis perasmian program telah dimulakan dengan ucapan aluan oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Mohd Nazri bin Ali, Imam Daerah Johor Bahru, mewakili Tuan Haji Zaini bin Mohd Saleh, Kadi Daerah Johor Bahru. Seterusnya, majlis perasmian telah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed, Timbalan Mufti Johor, mewakili Sahibus Samahah Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad, Mufti Negeri Johor. Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderahati kepada para penceramah dan peserta program.
Pengisian program telah dimulakan dengan pembentangan berkaitan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta fatwa-fatwa akidah yang berkuat kuasa di Negeri Johor, yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed, Timbalan Mufti Johor. Sesi ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai prinsip-prinsip asas akidah yang sahih serta panduan dalam menghadapi pelbagai cabaran pemikiran dan isu akidah semasa.
Program kemudiannya diteruskan dengan pembacaan dan syarahan Kitab al-Kharidah al-Bahiyyah yang disampaikan oleh Dr. Abdullah Jalil, Ahli Panel Deradikalisasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pakar rujuk Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pengajian kitab ini memberi penekanan kepada asas-asas akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta pengukuhan kefahaman peserta terhadap pegangan yang diwarisi daripada para ulama muktabar.
Program ini menjadi platform penting dalam memperkukuhkan kefahaman akidah serta menyelaras pemikiran berteraskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kalangan pegawai agama dan peserta yang hadir.
Semoga program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuhkan kefahaman dan penghayatan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kalangan masyarakat serta melahirkan umat yang berilmu, berakidah benar dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.
#JabatanMuftiJohor
#PejabatKadiDaerahJohorBahru
#TafaqquhAqidah
#AhliSunnahWalJamaah
#AlKharidahAlBahiyyah
#JohorBerteraskanIslam








