Program Menyantuni Perwira Negara

19 Jun 2025 / 22 Zulhijjah 1446H (Khamis) | Kluang, Johor.

Alhamdulillah, bersempena dengan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-127 yang sedang berlangsung di Negeri Johor, antara pengisian menarik yang telah diadakan adalah Program menyantuni perwira negara anjuran Jabatan Mufti Negeri Johor dengan kerjasama Tentera Darat Malaysia 7 Briged Kluang.

Antara pengisian program adalah acara pengendalian senjata api dan pertandingan menembak. Program ini telah berlangsung dengan jayanya di Lapang Sasar Kem Batu 3, Kluang, dengan penyertaan seramai 80 orang peserta daripada kalangan ahli mesyuarat MKI dan delegasi.

Ketibaan deligasi disambut oleh Panglima 7 Briged, Brigadier Jeneral Zulhelmi bin Masdar, bersama pegawai-pegawai kanan dan anggota Tentera Darat Malaysia 7 Briged Kluang.

Para peserta telah diberikan taklimat keselamatan dan pengendalian senjata api, diikuti dengan demonstrasi menembak oleh anggota tentera.

Acara diteruskan dengan pertandingan menembak yang berlangsung meriah dalam suasana penuh semangat dan disiplin tinggi.

Peserta berpeluang mengendalikan senjata api seperti senapang M4 dan pistol Glock 19 di bawah seliaan pegawai bertugas yang berpengalaman, memastikan aspek keselamatan sentiasa terpelihara.

Program turut dihadiri oleh YB Tuan Haji Mohd Fared bin Khalid (Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor) dan Mej Jen Dato’ Mohamad Suria bin Mohamad Saad (Panglima 3 Divisyen).

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan, disusuli dengan jamuan tengah hari.

Pengalaman yang sangat bermakna dilalui oleh setiap peserta kerana dapat merasai sebahagian kecil tugas para perwira negara untuk sentiasa siap siaga mempertahankan keselamatan dan kedaulatan demi bangsa, agama dan negara.