Mesyuarat Khas Pembinaan Membaikpulih Bangunan Akademi Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) Negeri Johor Di Taman Perling, Johor Bahru

Khamis, 24 April 2025 | Satu Mesyuarat Khas berkaitan penyelarasan proses membaikpulih Bangunan Akademi Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) Negeri Johor telah diadakan dengan dipengerusikan oleh SS YB Dato’ Hj. Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, dengan penyertaan dari pegawai-pegawai JKR Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Pengerusi mengalu-alukan kehadiran semua ahli mesyuarat dan menekankan kepentingan projek pembangunan ini dalam memperkukuhkan institusi keilmuan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri Johor.

Salah satu perkara utama yang dibincangkan ialah penerangan gerak kerja menaiktaraf Bangunan Pusat Perlindungan Wanita (PPW) yang akan dijadikan Bangunan Akademi ASWAJA, oleh Pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR) meliputi perincian kos Anggaran Kos Awalan (AKA) serta skop kerja terlibat.

Skop kerja merangkumi pembaikan struktur bangunan sedia ada, penambahan ruang aktiviti dan pembelajaran, bilik mesyuarat, serta penyediaan kemudahan asas seperti bilik kaunseling, ruang solat yang lebih mesra pengguna. Kerja-kerja penyelenggaraan dan pemasangan sistem keselamatan turut disenaraikan.

Mesyuarat ditangguhkan dengan persetujuan untuk mengemukakan perancangan berkenaan ke peringkat seterusnya bagi tindakan lanjut. Diharapkan projek ini akan memberi manfaat besar kepada umat Islam, serta memperkukuh pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di seluruh di Negeri Johor Darul Ta’zim.