Lawatan Kerja Rasmi Ke Jabatan Mufti Kerajaan Brunei Darussalam

30 April 2025 | Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam. Deligasi Jabatan Mufti Johor yang diketuai oleh Sohibus Samahah Yang Berhormat Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad (Mufti Negeri Johor), telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jabatan Mufti Kerajaan Brunei Darussalam.

Deligasi telah disambut oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Negara Brunei Darussalam dan para pegawai. Tujuan utama lawatan ini adalah bagi usaha memperkukuhkan hubungan strategik antara institusi mufti serantau.

Lawatan ini diisi dengan sesi perbincangan ilmiah melibatkan isu-isu akidah semasa, khususnya dalam menangani cabaran fahaman ekstremis akidah yang mengancam kestabilan umat Islam di rantau Nusantara. Perbincangan turut memberi fokus kepada usaha memperteguh manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah melalui naratif akidah yang sahih dan berautoriti.

Dalam sesi lawatan ini juga, Jabatan Mufti Johor telah membentangkan Kertas Cadangan Program Pertukaran Pegawai Agama Sementara (PPPAS) antara kedua-dua institusi. Cadangan ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan dan pemantauan ajaran sesat serta memperluaskan kompetensi profesional pegawai agama melalui pertukaran pengalaman dan kepakaran antara institusi autoriti agama kerajaan Brunei dan Negeri Johor.

Untuk rekod, jalinan kerjasama dalam bidang kefatwaan di antara kerajaan Brunei dan Negeri Johor telah lama terjalin bermula pada 1 April 1962 apabila Kerajaan Johor telah bersetuju meminjamkan Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz menjadi mufti pertama di Negara Brunei Darussalam (yang kemudiannya dikenali dengan Yang Dimuliakan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz) selama tiga tahun iaitu sehingga 31 Mac 1965. Kemudian beliau diperkenankan berkhidmat semula pada 08 Mac 1967 sehingga beliau kembali ke Rahmatullah pada 03 Februari 1993

Pada sebelah petang, delegasi turut berkesempatan mengadakan kunjungan ke Pusat Penyelidikan Mazhab Syafie (PPMS) yang bernaung di bawah pentadbiran Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). Rombongan telah disambut mesra oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA.

Dalam sesi pertemuan tersebut, delegasi telah diberikan taklimat mengenai struktur pentadbiran UNISSA serta peranan dan fungsi khusus PPMS. Delegasi turut berpeluang berdialog secara langsung bersama pegawai-pegawai penyelidik, bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman berkenaan isu-isu kontemporari.

Antara perkara yang menjadi fokus perbincangan adalah isu salah faham dalam kalangan masyarakat berkenaan kepentingan berpegang kepada Mazhab Syafie, yang menjadi pegangan utama di rantau ini. Pihak UNISSA turut membentangkan hasil kajian serta penerbitan ilmiah yang dihasilkan di bawah pengurusan PPMS, yang menjadi rujukan penting dalam pemerkasaan fiqh bermazhab di alam Melayu.

Semoga jalinan kerjasama seperti ini akan terus menyuburkan ukhuwah keilmuan dan memperkukuh peranan institusi agama dalam mendepani cabaran semasa umat Islam.