Dato’ Haji Rahim bin Yunus

Mufti Kelapan (1965-1977)

Dato’ Haji Rahim Bin Yunus dilahirkan pada tahun 1909 di Parit Kadi, Muar, Johor. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Melayu hingga tamat darjah empat. Manakala diperingkat sekolah agama, beliau belajar tamat pengajian. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran agama di Kelantan bersama-sama adiknya Allahyarham Dato’ Haji Hassan dan mereka berguru dengan Almarhum Tok Kenali Mohamad Yusof. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Makkah dengan seorang guru masyhur iaitu Syeikh Said Yunani. Pada tahun 1037, beliau meneruskan pengajian ke Universiti al-Azhar sehingga mencapai al-Shahadah al-Aliyyah.

Setelah tamat pengajian, beliau telah berkhidmat sebagai Kadi daerah Kluang diikuti Kadi daerah Kota Tinggi, Kadi daerah Muar dan kemudiannya Kadi Besar di Johor Bahru sehingga bersara pada tahun 1958. Selepas bersara daripada memegang jawatan kadi, beliau berkhidmat sebagai Pemangku Mufti pada tahun 1964. Pada tahun 1965, beliau menjadi Mufti Johor sehingga tahun 1977. Beliau merupakan seorang tokoh ulama berjasa dan berkebolehan di Johor Bahru.